PEMIKIR UMMAH

Showing posts with label PESANAN DARI MIMBAR. Show all posts
Showing posts with label PESANAN DARI MIMBAR. Show all posts

Monday, 16 April 2012

Apabila Taqwa Dicabuli Haqnya


InsyaAllah pada kali ini dibawakan satu topik yang ringkas dan padat. Bersama kita muhasabah akan diri kita.

Kita sering kali pada hari Jumaat diingatkan oleh khatib atas mimbar agar kita bertaqwa kepada Allah swt. Tetapi sedarkah kita, apakah maksud sebenar taqwa yang dimaksudkan itu?

Sesungguhnya taqwa secara umumnya adalah perkara yang telah lama hilang dari ummat Islam. Ia berlaku sejak 700 tahun dahulu bermula dari kejatuhan empayar Islam. Sebab itu, melalui peristiwa tersebut, ummat Islam terhina dimana-mana.

Bukan kita tidak berjuang, bukan kita tidak berusaha dan bukan kerana kita tidak berani, tetapi hasilnya yang kita dapat dari perjuangan dan usaha kita itu tidak padan dengan tenaga kita curahkan dan tidak berbaloi.

Ibarat orang yang menanam padi beratus ekar, hasilnya hanya beberapa guni sahaja sedangkan dalam Islam ada qaedah untuk mendapat hasil yang berlipat-ganda. Kita boleh tanam padi satu ekar dengan hasilnya berpuluh-puluh guni. Inilah rahsia tersirat yang mesti kita bongkar. Kita kena kaji kenapa ada orang menanam sedikit tetapi hasilnya banyak berlipat ganda. Dan ada pula orang menanam banyak tetapi hasilnya sedikit sahaja.

Ummat Islam mesti mengubah cara berfikir. Kita mesti ingat, bahawa dalam ajaran Islam, syariat mahupun bantuan yang datang dari tuhan ada yang berbentuk zahir dan ada yang berbentuk batin. Selama ini kita hanya tahu dan mengkaji yang zahir sahaja. Kalaupun kita dapat bantuan dari Allah swt, kita hanya dapat yang berbentuk zahir iaitu sedikit sahaja. Hanya setakat 10 % maksimum. Bantuan yang bersifat batin dan ghaib yang nisbahnya 90% kita tidak dapat.

Padahal inilah kelebihan ummat Islam terdahulu di zaman sahabat, tabi’in, tabi’ tabi’in dan salafus soleh. Mereka banyak dibantu dengan bantuan-bantuan batin dan bantuan-bantuan berbentuk ghaib. Mereka tahu rahsia dan mereka tahu qaedahnya. Iaitu mereka bersandar kepada Allah swt dengan mengusahakan diri menjadi orang yang bertaqwa. Mereka hanya berbuat 10% peratus yang 90% lagi Allah swt yang mencukupkan.

Banyak ayat Al-Quran dan hadith Nabi Muhammad saw yang menceritakan tentang hal ini dan tentang janji-janji Allah swt kepada orang yang bertaqwa. Disebutkan bahawa orang bertaqwa rezekinya tidak diketahui dari mana sumbernya.

Dilepaskan dia dari masalah hidup. Diberi ilmu dan dipermudahkan urusan dan berbagai-bagai lagi. Kemudian di waktu susah, waktu dharurat, waktu tercabar walaupun berlaku juga ujian, namun ia sebagai didikan yang tidak berpanjangan. Allah swt akan beri jalan kepada orang bertaqwa untuk terlepas dari ujian ini.

Justeru, di sebalik semua ujian pasti mengandungi 2 perkara tersebut :

1- bagi orang yang bertaqwa, ujian yang mencemaskan adalah untuk mendidik. Kerana dalam waktu cemas itu ada dididkan.

2- selepas itu, Allah swt akan segera lepaskan dia dari ujian itu supaya terasa bantuan Allah swt. Itu adalah hiburan bagi orang bertaqwa.

Kesusahan itu pelbagai bentuk seperti kesusahan ditimpa sakit, musibah, konspirasi musuh dan lain-lain. Kalau ada bala bencana di tempat kita, itu juga termasuk kesusahan.

Kalau waktu itu ada orang jahat dan baik(bertaqwa), pasti kita boleh lihat orang yang baik segera dilepaskan dari kesusuahan itu. Orang jahat mungkin selepas itu akan bertimpa-timpa lagi kesusahannya. Didatangkan berkat pada orang bertaqwa dalam pelbagai aspek, sama ada harta, keluarga, perjuangan, pendidikan, kebudayaan, pentadbiran dan lain-lain.

Friday, 10 February 2012

Jom Tunggu Hari Jumaat


Bagaimana mahu jadikan setiap langkah sahabat pembaca bersamaan dengan ibadah setahun berpuasa dan bersolat?

Segelintir dari kita hanya menunggu kedatangan bulan Ramadhan ke Ramadhan, raya ke raya. Ada juga yang menunggu lailatul qadar dan 10 malam terakhir Ramadhan.

Semua ini sangat baik dan ada keberkatannya.

Namun ada lagi satu musim yang Allah SWT letakkan segala kebaikan untuk setahun padanya. Semuanya ada di musim ini. Apakah ia?

Ia adalah hari Jumaat.
Sabda Nabi SAW “Sebaik-baik hari yang diterbitkan matahari adalah hari Jumaat”

Hari Jumaat telah dikhaskan untuk kita. Allah penuhkannya dengan kebaikan. Para ulama’ mengatakan tiada hari yang lebih baik dari Jumaat dalam setahun kecuali .....hari Arafah, hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Malah ia lebih baik dari Ramadhan dan 10 hari terakhirnya. Hari Jumaat lebih baik daripada hari-hari dalam Bulan Ramadhan.

Hadith Nabi SAW mengenai hari Jumaat
Sabdanya “barangsiapa yang mandi, keluar awal berjalan kaki, dan tidak menunggang, kemudian menghampiri imam dan mendengar khutbah, maka pada tiap-tiap langkahnya, dia dikurniakan ganjaran berpuasa dan bersolat selama setahun”

Begitulah boleh disimpulkan tentang etika dan adab-adab yang boleh diamalkan pada hari Jumaat.

Adab bersedia menyambut hari Jumaat :

1. Mandi
– setengah ulama’ mewajibkannya kerana Nabi SAW bersabda :
“mandi Jumaat adalah wajib kepada mereka yang sudah baligh”
Iaitu wajib ke atas setiap orang yang baligh.

2. Memakai pakaian yang terbaik dan menyimpan pakaian yang terbaik untuk hari Jumaat.
- Sudah tentulah yang terbaik adalah pakaian yang berwarna putih. Ia adalah sunnah kerana Nabi SAW sukakan warna putih.

3. Berwangi-wangian menggunakan ‘Atar dan haruman lain.

4. Potong kuku dan mencukur serta menggunting bulu yang dibolehkan.

5. melumurkan badan dengan minyak, losen atau krim.

Jika lima (5) adab ini diamalkan, maka kita telah mengamalkan sunnah hari Jumaat.

Adab keluar ke masjid :

Kemudian itu kita keluar menuju ke masjid bersama lima lagi adab.

1. Berjalan selagi mampu dan jika masjid berdekatan. Atau juga boleh memandu kemudian berjalan dari kereta menuju ke masjid.
- Ia akan dihitung. InsyaAllah akan mendapat ganjaran untuk amalan itu.

2. Keluar dari rumah awal dan masuk ke masjid sebelum imam berada di mimbar.
- Inilah antara yang memberi kesan terhadapku.
Sabda Nabi SAW “di setiap pintu masjid ada malaikat yang menulis nama mereka yang memasukinya mengikut urutan. Ketika imam menaiki mimbar mereka menutup lembaran nama itu untuk mendengar khutbah”

3. Menunaikna solat tahiyatul masjid
- Nabi SAW mengarahkan kita tidak duduk sebelum menunaikan solat tahiyatul masjid , walaupun khatib sudah menaiki mimbar dan mula menyampaikan khutbahnya. Kita tetap disunatkan untuk menunaikan solat tahiyatul masjid.

4. Sunnah mendekati imam.
- Ku begitu pelik sekali melihat ramai orang yang masuk awal ke masjid hanya untuk mengambil tempat belakang dan bersandar di dinding-dinding masjid. Sedangkan sunnah untuk kita mencari tempat yang paling hampir dengan imam berdasarkan sabda Nabi SAW :
“Baginda mendekati imam lalu mendengar khutbah”

5. Memberi perhatian terhadap khutbah yang disampaikan.
- sesetengah orang dia hanya tidur sepanjang khutbah disampaikan. MasyaAllah.....ketenangan untuk mereka tidur hanyalah pada waktu khutbah disampaikan. Buat untuk yang tidur itu, sesungguhnya mereka akan terlepas ganjaran besar yang diberikan kepada mereka yang mendengar khutbah. Memberi perhatian adalah yang penting dan juga meninggalkan perkara yang sia-sia.
- kerana terdapat beberapa kesalahan yang sering dilakukan oleh orang ramai. Sesetengah orang contohnya :
Ketika mendengar khutbah, dia memeriksa sms.
Sabda Nabi SAW : “Barangsiapa yang menggerakkan batu, pada hari Jumaat, maka dia telah melakukan perkara yang sia-sia, barangsiapa yang melakukan perkara sia-sia, maka tiadalah pahala Jumaat untuknya. Barangsiapa bercakap dengan temannya maka tiadalah pahala Jumaat untuknya”

Adab pada hari Jumaat dan malam sebelumnya :

Terdapat adab selain solat Jumaat iaitu pada hari Jumaat dan malam sebelumnya.

1. membaca surah Al-Kahfi
Sabda Nabi SAW “barangsiapa yang membaca surah al-Kahfi di hari Jumaat, dia disinari cahaya sehingga ke Jumaat yang berikutnya”
- ia juga akan melindungi kita daripada fitnah dajjal yang bahaya itu.

2. Sunnah yang dituntut oleh Nabi SAW secara peribadi :
Sabda baginda “banyakkanlah berselawat kepadaku pada hari Jumaat”
- Jika kita berselawat kepada Nabi SAW sekali. Allah SWT berselawat sebanyak 10 kali. Selawat dari Allah SWT adalah rahmat.

3. Banyakkan berdoa dan menunggu saat doa dimakbulkan.
Sabda Baginda “terdapat satu masa di hari Jumaat, jika seseorang muslim berdoa, doanya akan pasti akan dimakbulkan oleh Allah SWT”
- Saat itu dikenali sebagai saat doa dimakbulkan dan kebanyakan ulama’ dan para sahabat Nabi SAW antaranya Ali dan Fatimah Az-Zahrah dan beberapa sahabt yang lain mengatakan bahawa saat doa dimakbulkan adalah ketika matahari mula terbenam.

Antara perkara terpenting yang perlu kita ambil berat ketika mencontohi Baginda Nabi SAW adalah persepsi Baginda menunjukkan mahabbah Allah kepda kita. Mahabbah kita kepada Allah SWT pula merupakan asas, mengapa kita mengamalkan sunnah Baginda Nabi Muhammmad SAW.

Allah berfiman : “katakanlah jika kamu benar-benar cintai Allah SWT, ikutilah aku (Baginda Rasulullah), nescaya Allah SWT akan mengasihimu” (Ali-Imran : 31)


Saturday, 17 December 2011

Manfaatkan Cuti Sekolah Yang Masih Berbaki Ini


Dicedok Dari Khutbah Jumaat :
الْحَمْدُلِلهِ الْقَائِلْ،
ALHAMDULILLAH, pada kesempatan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan ini, bersama kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Kita laksanakan segala suruhan dan titah perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah mudahan kita tergolong dalam golongan orang yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Cuti akhir tahun persekolahan anak-anak kita kini sudah hampir ke penghujungnya. Manfaatkan sebaiknya cuti yang masih berbaki ini dengan mengetahui dahulu antara tujuan cuti persekolahan. Tujuannya semestinya untuk memberi sedikit kerehatan kepada murid-murid sekolah yang sudah sekian lama belajar, sebelum mereka menyambung semula pelajaran mereka pada tahun akan datang.

Cuti akhir tahun adalah satu cuti yang agak panjang iaitu lebih daripada sebulan, namun jika ianya tidak diuruskan dengan baik, ia akan menjadi sia-sia dan berlalu begitu sahaja. Justeru, musim cuti persekolahan perlu dirancang dan diurus dengan baik supaya ianya dapat memberi manfaat kepada anak-anak, ibu bapa dan masyarakat.

Setiap ibu bapa hendaklah bijak menguruskan cuti persekolahan anak- anak mereka. Orang yang beriman tidak akan membiarkan diri mereka dan keluarga mereka berada dalam keadaan lagho atau pun sia-sia.

Kata imam Asy-syahid Hasan Al-Banna:
" Kewajipan (yang perlu kita sempurnakan) adalah lebih banyak dari masa yang kita ada, maka sepatutnya tidak ada satu saat yang kita biarkan ianya berlalu tanpa kita menggunakannya dengan melakukan perkara-perkara yang berfaedah " .

Justeru, ibu bapa hendaklah :
1 . Menyedarkan mereka bahawa musim cuti bukan dihabiskan untuk berehat semata-mata, bermain, tidur dan menonton televisyen sepuas-puasnya, sebaliknya musim cuti adalah masa untuk memperkayakan ilmu pengetahuan dengan:
* Mengulangkaji pelajaran sebagai persediaan untuk mengahadapi peperiksaan pada tahun-tahun berikutnya;
* Ibu bapa dicadangkan mencari guru-guru yang berpengalaman untuk menyelesaikan masalah pembelajaran anak-anak dengan kelas-kelas tuisyen dan aktiviti latih tubi;
* Melibatkan anak-anak dengan kelas-kelas kesedaran Islam, Fardhu Ain, Tahsin Qiraat, Smart Solat dan kelas-kelas hafazan jangka pendek.
2 . Ibu bapa perlu membimbing anak-anak untuk memilih budaya hidup yang sihat. Masa lapang yang agak panjang pada musim cuti sekolah hendaklah diaturkan dengan program dan aktiviti yang mampu memantapkan fizikal anak-anak seperti penyertaan dalam ekspidisi mendaki bukit, berbasikal, penyertaan dalam sukan anjuran masjid, waja diri, berkebun dan lain-lain .
3 . Libatkan anak-anak dalam program dan aktiviti yang boleh mendorong mereka berjaya seperti Kem Motivasi , Nadwah Islam, rehlah, Kem Insan cemerlang dan lain-lain.
4 . Memberikan pendedahan kepada anak-anak remaja anasir-anasir yang boleh meruntuhkan Islam seperti keruntuhan akhlak, akidah dan syariat yang akhirnya membawa kerosakan kepada kehidupan.

Sebagai ibu bapa kita haruslah peka dengan perkembangan gejala sosial dan hendaklah mencari jalan penyelesaian terutama bagaimana harus menyelamatkan generasi anak-anak kita agar tidak menjadi mangsa kerosakan itu.

Inilah masanya yang paling sesuai untuk ibu bapa memberikan penekanan mengenai ilmu agama atau pun ilmu Fardu Ain. Jika pada masa persekolahan kita sibuk menekankan kecemerlangan akademik, maka inilah masanya kita memanfaatkan ruang ini untuk membekalkan anak-anak kita dengan ilmu agama sebagai panduan hidup mereka dalam mengharungi arus dunia yang bersimpang-siur ini.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang sedang belajar di sekolah rendah, di mana kebanyakan anak-anak belum lagi mencapai umur baligh, maka sepatutnya ibu bapa mengambil peluang ini untuk memastikan anak-anak mereka dapat menguasai dengan baik ilmu Fardu Ain sebelum anak mereka mencapai umur baligh. Ini kerana, apabila anak-anak telah mencapai umur baligh, segala perbuatan mereka telah dikira dosa dan pahala. Mereka akan berdosa jika tidak dapat soat dengan betul, mereka akan berdosa jika tidak dapat melakukan puasa dengan sah. Maka kewajipan ibu bapa bukan sahaja perlu untuk memberikan ilmu Fardhu Ain kepada anak-anak, bahkah membimbing serta menguatkuasakan perintah Allah yang wajib kepada anak-anak khususnya kewajipan solat.

Anak-anak adalah amanah Allah. Maka menjadi kewajipan ibu bapa untuk memastikan anak-anak sentiasa taat kepada Allah. Ibu bapa dan juga murid perlu merebut peluang musim cuti persekolahan ini untuk membangunkan syakhsiah yang sihat. Pada masa inilah saat yang paling sesuai bagi ibu bapa membina kekuatan syakhsiah anak-anak setelah hampir sepanjang tahun penumpuan dan penekanan diberikan kepada kecemerlangan akademik. Mereka perlu diajar bagaimana menjadi ahli masyarakat yang baik. Ibu bapa perlu menggunakan peluang ini untuk membina dan memantapkan syakhsiah dan jati diri anak-anak seperti menghantar mereka menyertai Khemah Ibadah untuk membentuk akhlak dan memperkasakan jati diri anak-anak.

Ambillah peluang di musim cuti persekolahan ini untuk merapatkan hubungan silaturrahim, khususnya bagi keluarga terdekat dengan menziarahi saudara-mara sama ada yang di kampung atau di bandar apabila hubungan kekeluargaan dan saudara-mara menjadi akrab dan mantap, hidup akan menjadi ceria dan mendapat rahmat dan keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala.

Selain itu, gunakanlah juga peluang cuti persekolahan ini untuk berjalan-jalan menikmati keindahan alam semulajadi negara kita yang kaya dan indah ini. Aktiviti ini sebenarnya meningkatkan kefahaman akidah dan tauhid kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan supaya kita akan merasa betapa bersyukurnya mendapat berbagai-bagai kurniaan Allah.

Sesungguhnya banyak perkara yang boleh dimanfaatkan pada musim cuti persekolahan ini. Rancanglah dengan baik, jika kita gagal untuk merancang, bererti kita sebenarnya merancang untuk gagal.

~ BERSAMA MANFAATKAN CUTI PERSEKOLAHAN~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Get ISLAMIC-Graphics