SURAT TERBUKA KEPADA ORANG MELAYU : ISLAM DIDAHULUKAN, MELAYU
BERSAMANYA
Islam didahulukan,
Melayu bersamanya. Bukan Melayu didahulukan, Islam mengikutnya, kerana Islam
ditegakkan Melayu selamat. Kalau Melayu ditegakkan diatas aqidah
kebangsaannya, Melayu sesat, Islam terpinggir. Inilah kecuaian Umno sejak
ditubuhkan sehingga kini.
Kecintaan kepada keluarga, kaum dan bangsa adalah fitrah yang digalakkan oleh
Islam, tetapi menjadikannya aqidah perjuangan adalah satu kesesatan.
Rasulullah S.A.W. memulakan perjuangan dengan keluarga dan kaumnya, tetapi
dengan aqidah dan berpandukan Islam.
Rasulullah S.A.W.
adalah ikutan yang dilantik oleh Allah, bukan dilantik melalui pilhanraya
atau perhimpunan agung mana-mana parti. Apabila Rasulullah S.A.W. dilantik
menjadi Rasul akhir zaman kepada seluruh alam, dipilih daripada kalangan
bangsa arab qabilah Quraisy, paling jahil, miskin dan berada ditangah padang
pasir paling gersang, tetapi menjadi paling sabar, berani dan paling lasak
menghadapi cabaran kalau ditarbiyah. Bangsa arab seluruhnya berpecah dan
berperang sesama sendiri. Semenanjung arab, tanah air mereka dijajah oleh
kuasa besar dunia Parsi dan Rom. Pesoalannya apakah yang didahulukan oleh
Rasulullah S.A.W? Sama ada memulakan perjuangan diatas semangat kebangsaan
arab, satukan mereka terlebih dahulu diatas semangat kebangsaan itu, tegakkan
perjuangan kemerdekaan menentang penjajah Parsi dan Rom, selepas itu Islam
boleh tegak dengan sendiri besamanya. Atau mulakan dengan Islam, perkasakan
bangsa arab dengan Islam yang sempurna, aqidah, syariat dan akhlak?
Ucapan pertama disampaikan kepada penduduk Makkah dengan arahan wahyu
daripada Allah ialah, firman Allah:
قُلْ يَاأَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعًا الَّذِي
لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ لا إِلَهَ إِلا هُوَ يُحْيِي وَيُمِيتُ
فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ النَّبِيِّ الأمِّيِّ الَّذِي يُؤْمِنُ
بِاللَّهِ وَكَلِمَاتِهِ وَاتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ } [الأعراف: 158
158. Katakanlah: "Hai manusia Sesungguhnya aku adalah utusan Allah
kepada kamu semua, iaitu Allah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi; tidak
ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, yang menghidupkan dan mematikan.
Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang ummi yang beriman
kepada Allah dan kepada kalimat-kalimat-Nya (kitab-kitab-Nya) dan ikutilah
Dia, supaya kamu mendapat petunjuk."
Bukan dengan seruan hidup arab Islam selamat !, hanya bangsa arab yang boleh
menegakkan Islam , macam selogan Umno :”hidup Melayu!”.
Tegasnya bahawa Rasulullah S.A.W. memulakan perjuangan mengajak bangsa
mengikut Islam, bagi memerdekakan diri daripada jahiliyah dalam diri sendiri
terlebih dahulu dengan bangsanya mengikut Islam. Walaupun mendapat tentangan
hebat daripada pemimpin kaum bangsa dan keluarganya sendiri, sehingga dihalau
daripada tanah air tempat dilahirkannya (Makkah). Kemudian menggunakan kuasa
pemerintahan Islam yang ditegakkan oleh kaumnya yang menerima Islam dengan
beriman mengikutnya dengan sempurna dan mengumpul serta menyatukan mereka
dengan Islam. Kemudian kembali semula ke Makkah untuk memerdekakannya daripada
kuasa pemeritahan jahiliyah arab yang dipimpin oleh ayah mertuanya sendiri
Abu Sufian bin Harb.
Allah mewafatkan Rasulullah S.A.W. setelah Ajaran Islam disempurnakan secara
wahyu serta cara beramalnya dinyatakan oleh Sunnah Rasulullah S.A.W. dan
setelah menyampaikan mesej Islam secara bersurat yang dihantar kepada negara
dan bangsa yang bukan arab. Ada yang menerima Islam, ada yang tidak menerima
tetapi berdamai dan ada yang mengambil sikap permusuhan.
Sebelum wafat Rasulullah S.A.W. Allah menegaskan kepadanya secara wahyu
kepada bangsa arab yang menganut Islam supaya berpandukan Islam, diantaranya
Allah memberi amaran :
وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا
أَمْثَالَكُمْ (38 ) مخمد
38. Jika kamu berpaling (daripada menegakkan Islam) niscaya dia akan
mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu
ini. (Surah Muhammad)
Khalifah Abu Bakar mengambil alih memimpin negara menentang bangsa arab yang
murtad (berpaling tadah menentang Islam). Penyelewengan berlaku dengan
bantuan penjajah Parsi dan Rom. Setelah Khalifah Abu Bakar berjaya
mengalahkan bangsa arab yang murtad maka dimulakan dakwah mengajak kaum lain
kepada Islam tanpa paksaan.
Dua kuasa besar dunia menentang secara ketenteraan kerana menganggap bangsa
arab yang menganut Islam itu masih lemah saperti sebelum Islam. Tiba-tiba dua
kuasa besar dunia ikut tumbang kerana jahiliyyahnya, walau pun mereka maju
daripada segi kebendaannya, tetapi dibejati kezaliman dan maksiat. Khalifah
Umar R.A. yang berjaya menjatuhkan dua kuasa besar dunia itu manyampaikan
ucapannya ketika berada di Kota Suci Bait Al Maqdis: .
(Kita adalah bangsa yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam, sekiranya
kita mencari kemuliaan yang lain daripada apa yang telah dikurnia Allah,
nescaya kita akan ditimpa hukuman Allah menjadi bangsa yang hina).
Ketika bangsa arab yang menganut Islam masih berpegang dengan ajaran Islam,
mereka terus memimpin negara yang paling besar dalam sejarah, bersama
masyarakat majmuk berbagai bangsa dan agama. Mereka mengislamkn bangsa lain
tanpa paksaan dan mengislam ilmu serta kebijaksanaan daripada berbagai
bangsa, sehingga melahirkan tamadun Islam yang paling hebat dalam sejarah
manusia.
Apabila bangsa Arab menjadi leka terhadap Islam, maka Allah menukarkan bangsa
bukan arab yang menganut Islam dan berpadukan Islam serta menegakkannya.
Bangsa lain mengambil alih pemerintahan telah melahirkan ilmuan Islam dan
pemimpin negara. Manakala bangsa arab menjadi rakyat dibawah pemerintahan Islam,
oleh para ulama dan pemimpin bukan berbangsa arab, saperti Kurdis, Turki,
Bukhara dan lain-lain.
Bangsa Melayu di Asia Tenggara turut sama menjadi bangsa yang perkasa apabila
mereka menganut Islam dan raja-rajanya memerintah dengan Islam. Bahasa Melayu
berhuruf Al Quran bertamadun menjadi bahasa ilmu dirantau ini.
Kedatangan penjajah yang mampu menguasai dunia Islam, termasuk dunia Melayu
di rantau ini apabila mereka lemah berpegang dengan ajaran Islam. Cahaya
Islam yang sedikit tidak boleh dipadamkan masih bersuluh membangkitkan
perjuangan menentang penjajah.
Walaupun penjajah asing sudah meninggalkan tanahair kita, tetapi kesan
daripadanya masih wujud dengan tabal. Kita tidak dapat mengambalikan jati
diri malainkan dengan kembali menjadikan Islam tertegak dihadapan kita yang
menjadi panduan seluruh cara hidup beragama dan bermasyarakat. Ini saperti
yang pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dengan petunjuk Allah dan
diperingatkan oleh Khalifah Umar bin Al Khattab R.A.
Mari kita menjadi bangsa yang insaf dengan muhasabah diri, bagaimana bangsa
arab yang berjumlah ratusan juta, di tengah kekayaan hasil minyak yang tidak
terkira, dipermainkan oleh kuasa barat yang pernah menjajah mereka. Mereka
tidak mampu berdepan dengan segelintir bangsa yahudi zionis yang diletakkan
oleh penjajah bagi menjaga kepentingannya di Asia barat. Ini kerana mereka
berpaksikan kebangsaan arab dan meminggirkan Islam di belakang mereka. Satu
agenda penjajahan pemikiran yang sengaja dirancang bergitu rupa.
Hari ini bangsa arab mula sedar dan bangkit bersama Islam dengan memulakan
kemenangan Islam secara aman memalalui pilihanraya yang adil setelah ditekan
oleh pemimipin bangsa sendiri secara kuku besi.
Umno adalah pelakon yang sama memimpin negara yang dikatakan merdeka, dengan
semangat hidup Melayu, Islam selamat. Nyata bahawa Melayu tidak selamat
dengan cara Umno. Islam cara Umno tidak mampu memperkasakan Melayu, kerana
Melayu didahulukan, Islam tidak memandunya kerana tidak djadikan panduan.
Maka bangsa Melayu tidak mampu bersaing dengan kaum lain dalam masyarakat
majmuk.
Kita wajib menerima hakikat masyarakat majmuk yang diatur oleh penjajah
ditanah air kita. Setelah mereka menjajah bangsa Melayu yang lebih dahulu
yang bercampur dengan kaum pribumi berada ditanahair ini. Penjajah membawa
kaum lain yang dijajah juga, untuk sama-sama diperhambakan untuk kepentingan
penjajah barat. Bangsa Melayu dan penduduk asal yang lain terus dipinggir
dikawasan luar bandar dengan keadaan terbiar dalam kemiskinan. Kaum Cina pula
menjadi buruh di lombong-lombong dan sebahagiannya di bandar dan kaum India
menjadi buruh di ladang-ladang. Semua kaum diperkudakan untuk kepentingan
penjajah dan seterusnya diatur untuk dilagakan diantara satu sama lain, untuk
terus diperintah atau menjaga kepentingan penjajah selepas merdeka.
Mengikut Islam bahawa masyarakat majmuk adalah satu adunan yang baik
sekiranya dimanfaatkan dengan bijak, sekiranya wujud kedudukan yang seimbang
dan saksama diantara satu sama lain. Kaum lain telah menerima hakikat bangsa
Melayu yang beragama Islam adalah teras kepada negara dengan hak yang adil
secara sama dengan kaum yang lain, kerana jumlah mereka lebih besar.
Tiba-tiba kedudukan orang Melayu yang beragama Islam ketinggalan jauh
dibelakang dari segi pendidikan, ekonomi, politik dan lain-lain. Ini
menyebabkan rasa tidak puas hati terhadap kaum lain, dengan terpinggir secara
nyata di Singapura, Pulau Pinang dan negeri-negeri lain di pantai barat dan
Malaysia Timur. Semua negeri-negeri ini pada awalnya dipimpin oleh Umno yang
bertemakan hidup Melayu mafhumnya tegaklah Islam.
Malangnya Umno menyalahkan pihak lain, khususnya PAS yang tidak bersama Umno
sejak menentang penjajah dan cara mencapai kemerdekaan dan mengurus negara.
Umno meletakkan Islam disamping atau dibelakang tanpa kuasa secara warisan
penjajah yang merancang untuk melemahkan umat Islam mengikut kajian para
orentalis. Akhirnya orang Melayu bukan sahaja terus dalam keadaan lemah,
tidak mampu bersaing dengan kaum lain. Bukan sahaja ketinggalan dalam ekonomi
dibumi sendiri, walaupun diberi tongkat hak istimewa Melayu dan bumiputera,
bahkan ketinggalan dalam pendidikan dan kesadaran berpolitik. Pemimpin yang
tidak boleh menjadi model Islam kepada bukan Islam dan tidak mampu memimpin
kumpulannya dan bangsanya sendiri, apatah lagi negara, tetapi lebih berlagak
mampu dengan mempertahan kuasa dengan apa sahaja, kerana dibejati penyakit
zalim dan fasad. Zalim mengikut takrif Islam ialah meletakkan sesuatu tidak
kena pada tempatnya dalam segala bidang, seperti kehakiman, pentadbiran,
ekonomi dan lain-lain aspek. Fasad pula ialah kemunkaran dalam segala aspek
saperti rasuah dan segala maksiat terhadap Allah, diri sendiri dan
masyarakat.
Pamimpin utama Umno sendiri sudah mengaku adanya penyakit yang kronik dalam
diri parti Umno. Politik rasuah (wang) membarah dalam diri sendiri dan
menyebarkannya kepada orang Melayu untuk mendapat sokongan, mengampu dan
menipu sesama sendiri. Maka orang Melayu dalam bahaya bersama Umno .
Ketinggalan orang melayu dalam politik Singapura ditahun lima puluhan dan
enam puluhan adalah dibawah pimpinan Umno. Tertinggalnya orang Melayu di
Pulau Pinang adalah dibawah Umno juga. Umno menyelamatkan kedudukan dengan
mengasak orang Melayu dengan kawasan pilihanraya campuran bagi memenangkan
rakan kongsinya daripada kaum lain setelah parti itu kalah dikawasan mereka.
Mereka menekan bangsa sendiri yang menegurnya dan tidak bersamanya, dengan
menindas negeri Melayu yang tidak berpihak kepada Umno. Tindakan menafikan
hak royalti minyak terhadap Kelantan dan Terengganu suatu ketika dahulu serta
melambatkan bayaran perkapita. Begitu juga dengan Kedah. Ini adalah contoh
nyata Umno menindas negeri Melayu. Umno juga mengapi-apikan semangat
perkauman Melayu sehingga tegang hubungan dengan kaum lain, seterusnya orang
Melayu dilekakan dengan wang, media yang menipu dan melalaikan mereka. Ketika
bangsa lain berpolitik secara matang dengan kefahaman merancang masa depan
yang jauh. Namun orang Melayu berpolitik diajar oleh Umno untuk mencari
peluang beberapa hari dimusim pilihanraya sehingga lupa menjadi mangsa setiap
lima tahun sehingga lebih lima puluh tahun terus ketinggalan.
Ucapan berapi dalam
perhimpunan Agung Umno baru-baru ini lebih banyak membedil diri sendiri,
bukan sahaja ada yang menikam dari belakang bahkan ada yang berani menikam
secara berhadapan. Walaupun pada zahirnya menyerang lawan dan kawan. Yang
tidak faham bertepuk tangan syok sendiri sehingga membengkak tangan. Adapun
yang faham pula berubah wajah kerana kebimbangan bahteranya menunggu karam
ditebuk kelasi sendiri.
PAS berulangkali mengajak Umno bermuzakarah secara ilmu Islam dan adabnya
bagi selamatkan umat dan negara dengan Islam, bukan berbincang untuk bersama
memikul biawak hidup yang diternak oleh Umno. Mengajak kepada Islah sekadar
kemampuan, kerana bukan cara menyelamatkan negara dengan mengapi-apikan
semangat perkauman yang menegangkan hubungan diantara kaum dan agama. Caranya
ialah dengan konsep adil untuk semua dan menjaga hak masing-masing secara
adil, serta ruang demokrasi dengan batas-batas dan sempadannya yang sebenar
secara ikhlas bukan secara menipu. PAS percaya Islam adalah hujah yang
terkuat daripada Allah S.W.T kerana Islam adalah Rahmat Allah kepada seluruh
alam.
Tulisan ini bukan menjaga tepi kain orang lain, tetapi hanya peringatan
kepada mereka yang kainnya sudah parah terkoyak, sehingga menampakkan
kecacatan yang memalukan.
PRESIDEN PAS
Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang
|