PEMIKIR UMMAH

Saturday, 24 December 2011

Ajar Vs Didik @ Ajar Compare Didik



Alhamdulillah, serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w

Kali ini ingin membawa suatu topik kepada sahabat pembaca sekalian.
Tugas guru mengajar atau mendidik?

apa bezanya mengajar dengan mendidik?


Selama ini kita belajar di sekolah, guru kita mengajar kita atau mendidik kita yer?
Bersama kita kongsikan apa itu mengajar dan apa itu pula mendidik.

mengajar = ta’lim

mendidik = tarbiyyah


Sama-sama kita “membuka minda” kita untuk berfikir..

kerana yg membezakan kita dengan makhluk yang lain ialah ‘aqal


Rasulullah s.a.w menyebut betapa tingginya nilai nikmat ‘aqal ini dalam sabdanya:
“Allah tidaklah mencipta suatu kejadian yang lebih mulia dari ‘aqal”

Disini bukanlah untuk menghuraikan nikmat ‘aqal itu sendiri tapi bagaimana kita menggunakan ciptaan Allah ini dengan sebaiknya kerana ‘aqal yang digunakan dengan baik akan memperoleh ilmu yang berguna yang mana ilmu ini kelak akan menghampirkan diri dengan Allah s.w.t mengetahui keagungan Allah serta kekuatanNYA…

Berbalik kepada tugas atau peranan guru….

apa pendapat sahabat pembaca?



Tugas guru mengajar atau mendidik atau kedua-duanya sekali….?



Banyak pendapat yang dilontarkan apabila berbincang isu ini…

secara jujur boleh dikatakan masing-masing menjawab menggunakan ilmu yang ada pada masing-masing…tidak salah untuk mengeluarkan pendapat..

tapi bukankah lebih bernas jika kita bersandarkan al-quran dan sunnah?
(teguran buat penulis juga)


Apakah baginda membawa ajaran atau didikan?
Jawapannya, kedua-duanya dirangkumkan oleh baginda. Bukan sekadar hanya mengajar,yakni memberikan maklumat, tetapi mendidik yakni mengasuh jiwa dan hati.

Mengajar ataupun ta’lim maknanya kita memberi pengetahuan dan maklumat mengenai sesuatu perkara. Inilah yang diajarkan dan dibawa oleh Baginda. Kita semua maklum, baginda datang dengan menbawa berita, bukan hanya berita gembira dengan adanya syurga tetapi juga dengan berita duka dengan adanya neraka. Baginda mengajarkan kita, bahawa syurga adalah balasan bagi mereka yang melakukan kebaikan dan amalan soleh,manakala neraka adalah balasan bagi mereka yang ingkar dan melakukan kemaksiatan kepada Allah. Nabi s.a.w menyampaikan semua maklumat di atas,yang mana dengan demikian itu manusia yang asalnya tidak tahu, lantas menjadi tahu. Ini yang dimaksudkan sebagai mengajar. Contoh yang lain, antaranya Nabi mengajarkan mengenai rukun-rukun solat, bagaimana hendak melakukan taat, bagaimana hendak berzakat dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, Baginda tidak mengabaikan aspek didikan yang disebut sebagai Tarbiyyah. Inilah saudara kembar kepada Ta’lim. Tidak cukup hanya sekadar tahu bahawa adanya syurga bagi yang melakukan amal soleh, tetapi lebih daripada itu adalah bagaimana cara sebenar melakukan amal soleh dan amal ubudiyyah yang lain untuk mendapatkan syurga. Dengan kefahaman dan tarbiyyah,maka manusia menjadi lebih terdidik jiwanya,sehinggalah sampai kepada peringkat melakukan amal ubudiyyah kepada Allah hanyalah semata-mata mengharapkan Mardhotillah,iaitu keredhaan Allah,bukan lagi mengharapkan syurga.

Jadi sama-sama kita muhasabah

Lihat situasi sekarang bagaimana guru-guru kita di sekolah. Bukan hendak memberontak, tapi sekadar pandangan.

Bagaimana untuk kita (sebagai guru) nak mendidik generasi akan datang sekiranya diri kita sendiri tidak terdidik? (sama-sama renungkan).



Guru perlu mendidik pelajar, siapa pula ingin mendidik guru?


Perlu difikirkan......,
Sekadar pandangan. Post Kementerian Pelajaran adalah penting bagi seseorang yang mempunyai tarbiah untuk menduduki jawatan ini, agar dapat mencorakkan guru ke arah yang betul, supaya dapat mendidik para pelajar di sekolah bukan sekadar mengajar.

~ GURU PEMANGKIN GENERASI MURABBI ~



Saturday, 17 December 2011

Manfaatkan Cuti Sekolah Yang Masih Berbaki Ini


Dicedok Dari Khutbah Jumaat :
الْحَمْدُلِلهِ الْقَائِلْ،
ALHAMDULILLAH, pada kesempatan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan ini, bersama kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Kita laksanakan segala suruhan dan titah perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah mudahan kita tergolong dalam golongan orang yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Cuti akhir tahun persekolahan anak-anak kita kini sudah hampir ke penghujungnya. Manfaatkan sebaiknya cuti yang masih berbaki ini dengan mengetahui dahulu antara tujuan cuti persekolahan. Tujuannya semestinya untuk memberi sedikit kerehatan kepada murid-murid sekolah yang sudah sekian lama belajar, sebelum mereka menyambung semula pelajaran mereka pada tahun akan datang.

Cuti akhir tahun adalah satu cuti yang agak panjang iaitu lebih daripada sebulan, namun jika ianya tidak diuruskan dengan baik, ia akan menjadi sia-sia dan berlalu begitu sahaja. Justeru, musim cuti persekolahan perlu dirancang dan diurus dengan baik supaya ianya dapat memberi manfaat kepada anak-anak, ibu bapa dan masyarakat.

Setiap ibu bapa hendaklah bijak menguruskan cuti persekolahan anak- anak mereka. Orang yang beriman tidak akan membiarkan diri mereka dan keluarga mereka berada dalam keadaan lagho atau pun sia-sia.

Kata imam Asy-syahid Hasan Al-Banna:
" Kewajipan (yang perlu kita sempurnakan) adalah lebih banyak dari masa yang kita ada, maka sepatutnya tidak ada satu saat yang kita biarkan ianya berlalu tanpa kita menggunakannya dengan melakukan perkara-perkara yang berfaedah " .

Justeru, ibu bapa hendaklah :
1 . Menyedarkan mereka bahawa musim cuti bukan dihabiskan untuk berehat semata-mata, bermain, tidur dan menonton televisyen sepuas-puasnya, sebaliknya musim cuti adalah masa untuk memperkayakan ilmu pengetahuan dengan:
* Mengulangkaji pelajaran sebagai persediaan untuk mengahadapi peperiksaan pada tahun-tahun berikutnya;
* Ibu bapa dicadangkan mencari guru-guru yang berpengalaman untuk menyelesaikan masalah pembelajaran anak-anak dengan kelas-kelas tuisyen dan aktiviti latih tubi;
* Melibatkan anak-anak dengan kelas-kelas kesedaran Islam, Fardhu Ain, Tahsin Qiraat, Smart Solat dan kelas-kelas hafazan jangka pendek.
2 . Ibu bapa perlu membimbing anak-anak untuk memilih budaya hidup yang sihat. Masa lapang yang agak panjang pada musim cuti sekolah hendaklah diaturkan dengan program dan aktiviti yang mampu memantapkan fizikal anak-anak seperti penyertaan dalam ekspidisi mendaki bukit, berbasikal, penyertaan dalam sukan anjuran masjid, waja diri, berkebun dan lain-lain .
3 . Libatkan anak-anak dalam program dan aktiviti yang boleh mendorong mereka berjaya seperti Kem Motivasi , Nadwah Islam, rehlah, Kem Insan cemerlang dan lain-lain.
4 . Memberikan pendedahan kepada anak-anak remaja anasir-anasir yang boleh meruntuhkan Islam seperti keruntuhan akhlak, akidah dan syariat yang akhirnya membawa kerosakan kepada kehidupan.

Sebagai ibu bapa kita haruslah peka dengan perkembangan gejala sosial dan hendaklah mencari jalan penyelesaian terutama bagaimana harus menyelamatkan generasi anak-anak kita agar tidak menjadi mangsa kerosakan itu.

Inilah masanya yang paling sesuai untuk ibu bapa memberikan penekanan mengenai ilmu agama atau pun ilmu Fardu Ain. Jika pada masa persekolahan kita sibuk menekankan kecemerlangan akademik, maka inilah masanya kita memanfaatkan ruang ini untuk membekalkan anak-anak kita dengan ilmu agama sebagai panduan hidup mereka dalam mengharungi arus dunia yang bersimpang-siur ini.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang sedang belajar di sekolah rendah, di mana kebanyakan anak-anak belum lagi mencapai umur baligh, maka sepatutnya ibu bapa mengambil peluang ini untuk memastikan anak-anak mereka dapat menguasai dengan baik ilmu Fardu Ain sebelum anak mereka mencapai umur baligh. Ini kerana, apabila anak-anak telah mencapai umur baligh, segala perbuatan mereka telah dikira dosa dan pahala. Mereka akan berdosa jika tidak dapat soat dengan betul, mereka akan berdosa jika tidak dapat melakukan puasa dengan sah. Maka kewajipan ibu bapa bukan sahaja perlu untuk memberikan ilmu Fardhu Ain kepada anak-anak, bahkah membimbing serta menguatkuasakan perintah Allah yang wajib kepada anak-anak khususnya kewajipan solat.

Anak-anak adalah amanah Allah. Maka menjadi kewajipan ibu bapa untuk memastikan anak-anak sentiasa taat kepada Allah. Ibu bapa dan juga murid perlu merebut peluang musim cuti persekolahan ini untuk membangunkan syakhsiah yang sihat. Pada masa inilah saat yang paling sesuai bagi ibu bapa membina kekuatan syakhsiah anak-anak setelah hampir sepanjang tahun penumpuan dan penekanan diberikan kepada kecemerlangan akademik. Mereka perlu diajar bagaimana menjadi ahli masyarakat yang baik. Ibu bapa perlu menggunakan peluang ini untuk membina dan memantapkan syakhsiah dan jati diri anak-anak seperti menghantar mereka menyertai Khemah Ibadah untuk membentuk akhlak dan memperkasakan jati diri anak-anak.

Ambillah peluang di musim cuti persekolahan ini untuk merapatkan hubungan silaturrahim, khususnya bagi keluarga terdekat dengan menziarahi saudara-mara sama ada yang di kampung atau di bandar apabila hubungan kekeluargaan dan saudara-mara menjadi akrab dan mantap, hidup akan menjadi ceria dan mendapat rahmat dan keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala.

Selain itu, gunakanlah juga peluang cuti persekolahan ini untuk berjalan-jalan menikmati keindahan alam semulajadi negara kita yang kaya dan indah ini. Aktiviti ini sebenarnya meningkatkan kefahaman akidah dan tauhid kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan supaya kita akan merasa betapa bersyukurnya mendapat berbagai-bagai kurniaan Allah.

Sesungguhnya banyak perkara yang boleh dimanfaatkan pada musim cuti persekolahan ini. Rancanglah dengan baik, jika kita gagal untuk merancang, bererti kita sebenarnya merancang untuk gagal.

~ BERSAMA MANFAATKAN CUTI PERSEKOLAHAN~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Get ISLAMIC-Graphics