PEMIKIR UMMAH

Friday, 13 January 2012

Kala Terbit Cinta



Kala Terbit Cinta sebuah drama bersiri yang disiarkan oleh TV Hijrah yang bersiaran setiap hari Isnin hingga khamis bermula  jam 2.30 petang sehingga  jam 3.30 petang. Sebuah drama yang menarik untuk dikongsikan bersama-sama sahabat pembaca.

Apa yang best sangat yerk?

Best ke tak best yang tu hal lain, tapi seronok juga. Apa nyer tidak, jarang sekali untuk bertemu dengan drama-drama sebegini, walaupun banyak cerita Islamik yang di import dari Indonesia, seperti filem ayat-ayat cinta, ketika cinta bertasbih 1 dan 2. Ini berbeza sama sekali dengan apa yang ditekankan oleh pengarah (bagi pandangan ku), dalam cerita Kala Terbit Cinta ini berbanding dengan filem Islamik keluaran Indonesia.


Ceritanya sentiasa menekankan aspek aurat.....pemakaian yang cantik tetapi masih menutupi aurat. Memang tidak sempurna, tapi......... paling kurang lebih baik berbanding cerita-cerita lain yang mendedah aurat sana-sini. Sekalipun tidur, ke bilik air,  dan ketika sakit di hospital, tudung yang melebihi paras dada sentiasa dikenakan. Cerita keluaran Indonesia tidak sebegini rupa. Penekanan tabarruj  juga tidaklah berlebihan terlampau sangat.

Pemakain jubah dan baju kurung sahaja yang ditampilkan dalam cerita tersebut, walaupun permulaannya wanita tersebut berpakaian seluar dan t-shirt bagi membawa gambaran ketika dia dalam kejahilan (untuk seketika waktu sahaja). Bab ketika ini tidak dinafikan ia sama sekali adalah salah. Jika hendak dibandingkan filem Islamik lain, berpanjangan ia ditayangkannya. Tetapi masih memastikan wanita tersebut t-shit berlengan panjang, tidak menayangkan ketiaknya....yang selalu dipakai dalam drama-drama melayu yang lain.

Apa yang paling menarik minatku untuk berkongsi bersama sahabat pembaca dalam cerita ini, aspek MAHRAM juga ditekankan di dalam cerita tersebut. Itu pun bagi mereka yang ambil peduli atau cakna dalam menonton sesebuah cerita, bukan menonton sekadar untuk hiburan jiwa mereka.

Apa yang ditekankan mahram dalam cerita tersebut?

Ha! kalau menonton sekadar hiburan, mereka takkan jumpa punya. Iaitu dari segi bersalaman. Walaupun dalam cerita tersebut mereka adalah anak-beranak, tetapi aspek berpelukan da bersalaman sesama keluarga tidak diarahkan dalam cerita tersebut. Sekadar anak perempuan dengan ibu sahaja berpelukan dan bersalaman. Kalu anak lelaki dengan ibunya, tidak ada salam-salam lah.

Mesti terlintas dalam fikiran sahabat pembaca, ia akan menampakkan plot penceritaan itu akan jadi tidak beradab. Tidak sama sekali. Itu satu tanggapan yang salah.

Masih lagi boleh membawa mesej hormat pada ibu-bapanya, bercakap dengan nada yang rendah dan lembut, hormat ibunya. Mengangkat barang-barang ibunya. Minta izin hendak ke mana-mana. Jadi aspek bersalam dengan bukan mahram dapat dielakkan. Kerana apa ditekankan begitu oleh pengarah, semestinya diluar dari cerita tersebut mereka bukanlah ada hubungan satu keluarga pun. Jadi mereka bukanlah mahram.

Tahniah ku ucapkan kepada pengarah filem Kala Terbit Cinta kerana berjaya membawa penceritaan yang menarik tanpa menggadaikan syariat Allah. Berharap pengarah-pengarah sebegini yang diharapkan dapat dilahirkan dalam industri penfileman. Tahniah!!!

p/s : bagi mereka yang tidak dapat lihat di kaca televisyen boleh lihat (www.tvhijrah.com)



Thursday, 12 January 2012

Kelekatu Yang Jatuh Ke Lantai

Litar kehidupan ini umpama litar di jalan raya. Di jalan raya akan kita temui pelbagai papan tanda dan lampu isyarat. Orang yang tidak siuman sahaja merasakan papan tanda dan lampu isyarat itu satu “sekatan” kepada pergerakannya.

Tidak!
Itu bukan sekatan sebaliknya itu hanya satu “kawalan”. Berbeza benar makna satu sekatan dengan satu kawalan. Sekatan adalah untuk menyekat pergerakan. Manakala kawalan adalah untuk menyelamatkannya.

Tanda-tanda jalan dan lampu isyarat adalah untuk menyelamatkan pemanduan. Apabila melalui jalan berbahaya, selekoh tajam atau jalan berliku-liku papan tanda berhati-hati dan memandu perlahan akan dipasang di tepi-tepi jalan. Syukur, kita terhindar untuk melakukan sesuatu yang membahayakan diri hasil mematuhi peraturan-peraturan itu.

Bayangkan apa yang akan terjadi di jalan bersimpang empat jika lampu isyarat rosak? Akibatnya semua kereta hendak bergerak lebih dahulu. Kita tahu akibatnya? Ya, berlakulah perlanggaran. Tanpa kawalan, pergerakan kita memang bebas....tetapi akan terbabas. Itulah akibatnya apabila masing-masing berpandukan fikiran dan perasaan masing-masing. Tidak ada “term of reference” yang disepakati bersama sedangkan jalan raya itu digunakan secara bersama.

Oleh itu, tidak dapat tidak, peraturan jalan raya itu sangat penting . Dan siapa yang melanggarnya, memang patut dihukum atau didenda demi kebaikan seluruh pengguna.

Maka begitulah juga litar kehidupan ini. Perlu peraturan dan tanda-tanda “jalannya”. Yang halal umpama lampu hijau, maka laksanakanlah, pasti selamat dan bermanfaat. Yang haram, lampu merah, jangan sekali-kali dilakukan, nanti buruk akibatnya. Sekalipun kekadang kita hendak segera ke tempat tujuan, lampu isyarat jangan diabaikan. Islam - Matlamat Tidak Menghalalkan Cara.

Maka begitulah dengan hidup ini. Adakalanya kita kesempitan, kekurangan atau kesusahan, namun yang haram jangan sekali-kali diambil dan dilaksanakan. Begitu juga dengan yang halal atau wajib, walaupun sukar, laksanakanlah.

Janganlah hendaknya kita buta hati daripada melihat apa yang terjadi pada manusia derhaka di sekeliling kita. Baik yang hidup pada zaman dahulu mahupun zaman sekarang.

Apa akibatnya orang yang melanggar perintah Allah?

Tenangkah mereka?

Bahagiakah mereka?

Kita sudah tahu jawapannya.

Kisah mereka banyak sekali diungkapkan dalam al-Quran. Tetapi mengapa kita tempuh juga jalan hidup songsang mereka? Apakah kita persis kelekatu yang terus melanggar sumber cahaya walaupun sudah banyak rakannya yang jatuh ke lantai sebagai korban? Tidak pernah mengambil itibar dari kejadian tersebut.

Manusia memang pandai tetapi itu bukan alasan untuk memandai-mandai. Kita tidak layak membuat hukum. Yang layak membuat hukum hanya Allah - Pencipta hidup dan kehidupan ini. Jangan diserahkan kepada manusia kerana dia cuma dihidupkan dan tidak layak membuat peraturan. Bayangkan jika kuasa membuat peraturan diserahkan kepada manusia, tentulah banyak peraturan yang berbeza-beza, berubah-rubah dan rapuh sepertimana ketidakstabilan akal dan perasaan manusia yang berjumlah tujuh bilion hari ini!

Bebas sebenarnya adalah terikat dengan hukum Allah. Biarlah hidup ini dikawal sepenuhnya oleh Allah, nescaya tidak ada yang dapat menyekat kita. Syariat adalah tanda kasih-sayang Allah kepada kita. Mereka yang merasakan hidupnya terbelenggu kerana perlu mematuhi peraturan Allah adalah manusia yang ‘bodoh sombong’ - pandainya tidak bleh diikut, bodohnya tidak dapat diajar.

Dia bodoh, kerana tidak mampu merasai kebesaran dan ketinggian ilmu al-Alim (Allah). Dia sombong, kerana merasakan dirinya lebih hebat daripada Penciptanya.

Inilah sejenak renungan buat individu-individu (ada di kalangan umat Islam sendiri) yang merengus, membebel, marah dan kekadang kecewa kenapa dan mengapa hidup sebagai seorang muslim begitu “cerewet” dan menyusahkan?

Hingga mereka merungut mengapa begitu sukar untuk menikmati makanan yang enak, apabila terpaksa terlebih dahulu memastikan halal haramnya. Mengapa terlalu rumit untuk meraih keuntungan daripada sesuatu pembelian saham atau perniagaan, sehingga terpaksa meneliti salur-salur pelaburan dan sumber kewangannya?

Sejenak rasakanlah....di sebalik semua peraturan itu ialah kasih sayang Allah. Itulah kasih yang tiada tandingan dan bandingnya. Jadilah orang yang bijaksana dengan mengakui kejahilan diri di hadapan kebijaksanaan-NYA. Jadilah orang yang mulia dengan merendah diri di hadapan keagungan-NYA. Kita hanya hamba ......di situlah ‘keagungan’ kita!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Get ISLAMIC-Graphics