Terjemahan Mohamad Yahya, | 21 Nov 2012 |
(Imej yang muncul di kebanyakan laman web Israel yang dilaporkan telah digodam oleh Anonymous)
JERUSALEM: Lebih daripada 44 juta cubaan penggodaman telah dibuat ke atas laman web kerajaan Israel sejak Israel mula melancarkan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza hampir seminggu lalu.
Angka tersebut yang dikeluarkan oleh kerajaan Israel menunjukkan bahawa cubaan tertinggi adalah ke atas laman web berkaitan pertahanan, manakala 10 juta percubaan telah dibuat ke atas laman web presiden, tujuh juta percubaan ke atas kementerian luar dan tiga juta percubaan ke atas laman web Perdana Menteri.
Menteri Kewangan Israel, Yuval Steinitz berkata hanya satu cubaan penggodaman yang berjaya ke atas laman web yang tidak akan dinamakan, tetapi ia berfungsi semula selepas 10 minit.
Anonymous, sebuah kumpulan aktivis siber antarabangsa, telah mengepos ke internet satu senarai mengandungi hampir 700 laman web Israel yang didakwa telah disasarkan, dirosakkan dan diganggu dalam tindak balas kepada serangan udara ke atas Gaza.
Salah satu sasaran paling utama kempen "OpIsrael" adalah program pembangunan antarabangsa Kementerian Luar, Mashav.
Dalam satu pengumuman di Twitter, Anonymous mendakwa telah mengganggu pangkalan data dalaman laman web tersebut.
Pada pagi Khamis, Anonymous mengeluarkan kenyataan yang memanggil penggodam lain untuk membantu melumpuhkan dan merosakkan laman web yang berkaitan atau dimiliki kerajaan atau tentera Israel.
Antara sasaran berprofil tinggi kumpulan Anonymous adalah laman web Parti Kadima di Israel, yang berada di luar talian sejurus selepas digodam, dan juga Bank of Jerusalem.
Kebanyakan laman web yang digodam memaparkan imej tiada paparan, tetapi selebihnya memaparkan imej dan mesej pro-Palestin.
Seorang jurucakap kementerian Israel berkata bahawa walaupun serangan muncul dari serata dunia, namun serangan tinggi muncul dari Israel dan wilayah Palestin.
"Jabatan komputer kementerian akan terus menghalang jutaan serangan siber," ujar Steinitz katanya. "Kami sedang menikmati hasil pelaburan kami beberapa tahun kebelakangan ini dalam membangunkan sistem pertahanan berkomputer."
Steinitz telah mengarahkan kementeriannya untuk beroperasi dalam mod kecemasan untuk menangani percubaan melemahkan laman web kerajaan.
Kedua-dua pihak dalam konflik Gaza, terutamanya Israel, menggunakan media sosial sebagai salah satu alat peperangan.
Tentera Israel telah muncul di hampir setiap platform yang wujud, manakala pejuang Palestin aktif di Twitter.
"Peperangan ini berlaku dari tiga segi. Yang pertama adalah fizikal, yang kedua ialah dalam dunia rangkaian sosial dan ketiga adalah siber," kata Carmela Avner, ketua pegawai maklumat Israel.
No comments:
Post a Comment