InsyaAllah pada kali ini dibawakan satu topik yang ringkas dan padat.
Bersama kita muhasabah akan diri kita.
Kita sering kali pada hari Jumaat diingatkan oleh khatib atas mimbar agar
kita bertaqwa kepada Allah swt. Tetapi sedarkah kita, apakah maksud sebenar
taqwa yang dimaksudkan itu?
Sesungguhnya taqwa secara umumnya adalah perkara yang telah lama hilang
dari ummat Islam. Ia berlaku sejak 700 tahun dahulu bermula dari kejatuhan
empayar Islam. Sebab itu, melalui peristiwa tersebut, ummat Islam terhina
dimana-mana.
Bukan kita tidak berjuang, bukan kita tidak berusaha dan bukan kerana kita
tidak berani, tetapi hasilnya yang kita dapat dari perjuangan dan usaha kita
itu tidak padan dengan tenaga kita curahkan dan tidak berbaloi.
Ibarat orang yang menanam padi beratus ekar, hasilnya hanya beberapa guni
sahaja sedangkan dalam Islam ada qaedah untuk mendapat hasil yang
berlipat-ganda. Kita boleh
tanam padi satu ekar dengan hasilnya berpuluh-puluh guni. Inilah rahsia
tersirat yang mesti kita bongkar. Kita kena kaji kenapa ada orang
menanam sedikit tetapi hasilnya banyak berlipat ganda. Dan ada pula orang
menanam banyak tetapi hasilnya sedikit sahaja.
Ummat Islam mesti mengubah cara berfikir. Kita mesti ingat, bahawa dalam
ajaran Islam, syariat mahupun bantuan yang datang dari tuhan ada yang berbentuk
zahir dan ada yang berbentuk batin. Selama ini kita hanya tahu dan mengkaji
yang zahir sahaja. Kalaupun kita dapat bantuan dari Allah swt, kita hanya dapat
yang berbentuk zahir iaitu sedikit sahaja. Hanya setakat 10 % maksimum. Bantuan
yang bersifat batin dan ghaib yang nisbahnya 90% kita tidak dapat.
Padahal inilah kelebihan ummat Islam terdahulu di zaman sahabat, tabi’in,
tabi’ tabi’in dan salafus soleh. Mereka banyak dibantu dengan bantuan-bantuan
batin dan bantuan-bantuan berbentuk ghaib. Mereka tahu rahsia dan mereka tahu
qaedahnya. Iaitu mereka bersandar kepada Allah swt dengan mengusahakan diri
menjadi orang yang bertaqwa. Mereka hanya berbuat 10% peratus yang 90% lagi
Allah swt yang mencukupkan.
Banyak ayat Al-Quran dan hadith Nabi Muhammad saw yang menceritakan tentang
hal ini dan tentang janji-janji Allah swt kepada orang yang bertaqwa. Disebutkan
bahawa orang bertaqwa rezekinya tidak diketahui dari mana sumbernya.
Dilepaskan dia dari masalah hidup. Diberi ilmu dan dipermudahkan urusan dan
berbagai-bagai lagi. Kemudian di waktu susah, waktu dharurat, waktu tercabar
walaupun berlaku juga ujian, namun ia sebagai didikan yang tidak berpanjangan.
Allah swt akan beri jalan kepada orang bertaqwa untuk terlepas dari ujian ini.
Justeru, di sebalik semua ujian pasti mengandungi 2 perkara tersebut :
1- bagi orang yang bertaqwa, ujian yang mencemaskan adalah untuk mendidik.
Kerana dalam waktu cemas itu ada dididkan.
2- selepas itu, Allah swt akan segera lepaskan dia dari ujian itu supaya terasa
bantuan Allah swt. Itu
adalah hiburan bagi orang bertaqwa.
Kesusahan itu pelbagai bentuk seperti kesusahan ditimpa sakit, musibah,
konspirasi musuh dan lain-lain. Kalau ada bala bencana di tempat kita, itu juga
termasuk kesusahan.
Kalau waktu itu ada orang jahat dan baik(bertaqwa), pasti kita boleh lihat
orang yang baik segera dilepaskan dari kesusuahan itu. Orang jahat mungkin
selepas itu akan bertimpa-timpa lagi kesusahannya. Didatangkan berkat pada orang bertaqwa dalam
pelbagai aspek, sama ada harta, keluarga, perjuangan, pendidikan, kebudayaan,
pentadbiran dan lain-lain.
No comments:
Post a Comment