MAY 15TH, 2012
Isu palestin kian menggugat hati saudara seakidah di Malaysia. Bukti yang jelas apabila perubahan warna pada di segenap sudut arus media. Sahabat-sahabat di laman sosial Facebook turut bersolidariti dalam menyatakan kebersamaan mereka terhadap isu ini.
Pemilihan warna coklat sejajar dengan warna pakaian yang dikhususkan oleh Penjara Israel terhadap tahanan Palestin. Pelbagai jenis serta paras rupa menggambarkan tahanan Palestin ini diterjemahkan melalui gambar profil sahabat.
Pihak berkuasa Israel mengamalkan budaya “tahanan pemerintah” ini telah membawa kepada tindakan mogok lapar oleh tahanan Palestin. Jelas sekali perkara ini bertentangan dengan hak asasi manusia. Mereka ditahan tanpa usul periksa, disumbat ke dalam sel-sel penjara tanpa bicara.
Susulan tindakan tersebut, mangsa tahanan ini melakukan mogok lapar sebagai bantahan mereka terhadap tindakan rejim kejam Israel. Lebih 1,600 orang daripada 4,800 orang warga Palestin bertindak membantah undang-undang dengan mogokan bermula 17 April yang lalu. Paling menyentuh hati, ada dalam kalangan mereka ini sudah mencecah 77 hari bertahan.
Hanya kerana tidak diberikan hak untuk menerima lawatan daripada keluarga serta beberapa layanan yang sewajarnya diberikan oleh pihak Israel. Meskipun mereka ditahan kerana dikhuatiri memberi ancaman kepada ‘negara’ Israel, namun undang-undang “tahanan pemerintah” tersebut hanya berkesan tidak lebih daripada 6 bulan.
Tahanan pemerintah ini dibawa ke hadapan hakim tentera, yang berkuasa menetapkan tempoh tahanan 6 bulan maksimum. Walaubagaimanapun, tempoh ini mungkin akan berulang setelah 6 bulan pertama tamat.
Sudah terang lagikan bersuluh, rejim zionis ini mencabuli hak asasi manusia. Meskipun kaedah penahanan pemerintah ini diterima di peringkat undang-undang antarabangsa, namun perkara ini terhad pada keadaan yang kritikal. Sebagaimana untuk mengelak daripada berlakunya sesuatu yang mengancam keamanan Israel.
Hakikat yang perlu diterima, Israel cukup terkenal dengan sikap ‘keras kepala’. Mereka bertindak sesuka hati, bertunjangkan nafsu amarah mereka. Jelas sekali terpancar kebencian yang bernanah di segenap jiwa rejim Israel terhadap muslimin Palestin.
Pergelutan isu semasa di Malaysia tidak sedikit pun mengalih padangan barisan kepimpinan Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM) untuk bersolidariti terhadap perkara ini. Isu ini bukan bermula semalam, tidak pula hanya mengisi cerita selingan di peringkat media antarabangsa. Palestin memerlukan sokongan masyarakat dunia terhadap setiap penindasan yang dikenakan ke atas mereka.
ISIUKM menyeru kepada masyarakat untuk celik mata terhadap isu penindasan ini. Bukan perkara baharu berlaku, tetapi mereka sudah berkali-kali diperlakukan sedemikian. Jelas bahawa suara mereka perlu didengari oleh masyarakat dunia.
Ayuh! Kita bersolidariti bersama, meskipun usaha yang dilakukan hanya menukar gambar profil di laman sosial mahupun perkongsian pandangan di laman blog peribadi. Mesej yang jelas adalah untuk membangkitkan semangat prihatin serta simpati masyarakat dunia terhadap tahanan Palestin. Diharapkan dengan usaha kecil ini mampu menyemarakkan lagi usaha setiap muslim di serata dunia untuk mendoakan kesejahteraan mereka.
Muhammad Razif bin Ahmad
Setiausaha Agong ISIUKM 2012/2013
No comments:
Post a Comment