PEMIKIR UMMAH

Tuesday, 6 March 2012

Kewajipan Baiah Dan Tuntutannya

PENGERTIAN BAI'AH

[ Baiah dari sudut bahasa: ]

· Baiah berasal dari huruf ( ب , ي , ع / ba' -ya' -ain ) , datang dengan kalimah baa'a ( باع ) atau bei' ( بيع )

· Dalam Mu'jam Alfaz Quran[1]:Al-baie mubadalatu maalin bimaal ( البيع مبادلة مال بمال ), kalimah ini digunakan biasanya dalam urusan jual beli. Kalimah ini digunakan juga pada hubungan perdamaian kerana di situ terdapatnya konsep pertukaran hak. ( mubaadalatul hak / مبادلة الحق ) sebagaimana pada jual beli ada ( mubaaya'atus syai' / مبايعة الشئ ) .

· Dalam Mufradat fi Gharib Quran lil Ashfahaani: Baie ( بيع ) adalah beri barang dan mengambil duit , sementara Syira' ( شراء ) ialah beri duit dan ambil barang dan dikatakan juga pada baie ( بيع ) itu Syira’ ( شراء ) dan pada Syira’ ( شراء ) itu baie. ( بيع ) Sebagaimana dalam hadis:

لا يبيع أحدكم على بيع أخيه

Tidak harus membeli seseorang kamu di atas belian saudaranya.

Hadis ini membawa makna أى لا يشتري على شرائه

Baiah dari segi bahasa meliputi 3 anasir utama:

1. Mesti ada dua pihak yang buat perjanjian .

2. Ada benda yang ditukar oleh kedua pihak pada perjanjian.

3. Redha antara keduanya,dengan makna kedua2 mereka merasakan bersetuju untuk sama ada jual atau beli benda tersebut.

[ Baiah dari sudut istilah Syarak: ]

Ibnu Khaldun[2]:

البيعة هي العهد علي الطاعة كأن المبايع يعاهد أميره على أن يسلم له النظر في نفسه فيما يكلفه به من الأمر على المنشط والمكره

Maksudnya : Baiah ialah perjanjian di atas ketaatan , seperti pembaiah memberi janji setia kepada pemimpinnya bahawa ia bersedia menerima segala tanggungjawab yang dipertanggungjawab ke atas dirinya samaada dalam keadaan cergas atau pun tidak . ( dalam keadaan suka ataupun tidak suka )

Golongan umat Islam apabila mereka beri baiah kepada ketua mereka,lalu diletakkan tangan mereka diatas tangan ketua sebagai bukti kepada perjanjian sepertimana keadaan pembeli dan penjual , dengan demikian jadilah baiah bersalaman tangan antara satu sama lain.

Dr Solehuddin Basyuni[3]:

البيعة إذن عقد بين طرفين أشبه بِما بين البائع والمشتري فالإمام طرف والجماعة الاسلامية الطرف الآخر.والخلافة هي موضوع البيعة.

Baiah ialah aqad ( perjanjian ) antara dua pihak . menyerupai aqad yang dimateri antara penjual dan pembeli . Justeru itu Imam ( pemimpin ) di satu pihak dan Jamaah islamiyyah di satu pihak yang kedua . Sementara Khilafah merupakan “tempat letak”nya baiah .

Dr Mohd Ab.Qadir Abu Faris[4]:

البيعة تعني إعطاء العهد من المبايع على السمع والطاعة للأمير في المنشط والمكره والعسر واليسر وعدم منازعة الأمر وتفويض الأمور إليه.

Baiah memberi maksud perjanjian oleh pembaiah atas tanggungjawab dengar dan taat terhadap pemimpin dalam situasi cergas dan lemah , sukar dan mudah tanpa mewujudkan pertelingkahan dan dan gangguan kelicinan arahan yang diberi .

Mohd Al-Mubarak[5]:

عقد وميثاق بين الطرفين,الأمير المرشح لرياسة الدولة والجمهور.أما هو فيبايع على الحكم بالكتاب والسنة والنصح للمسلمين,وأما الجمهور المبايع فعلى الطاعة في حدود طاعة الله ورسوله.

Perjanjian dan perlembagaan antara dua pihak . Pemimpin yang dicalonkan sebagai ketua Negara dan rakyat . Adapun pemimpin berbaiah atas pemerintahan yang berdasarkan Kitab , Sunnah dan Nasihat bagi sekelian muslimin . Adapun rakyat pula berbaiah atas ketaatan selama mana berada dalam batas ketaatan kepada Allah dan Rasul.

Baiah dalam sistem politik Islam ini terbahagi kepada 2 iaitu baiah khas dan baiah am:

1. Al-Baiah al-Khaassah ( البيعة الخاصة )

Iaitu Ahli halli wal aqdi menjalankan tugas memilih calon khalifah. Baiah ini mengiklankan calon yang dipersetujui oleh mereka. Ia adalah muqaddimah kepada baiah umum.

Baiah khusus ini hanya diiktiraf bila wujud kebebasan bagi memilih khalifah tanpa wujud paksaan.

2. Al-Baiah Al-Ammah ( البيعة العامة )

Iaitu baiah yang berlaku selepas baiah khusus. Ia adalah baiah bukan dari sebahagian orang tetapi dari seluruh masyarakat sama ada mereka memberi baiah secara langsung atau dengan menggunakan wakil.

Ia adalah ibarat menyatakan wala', taat dan iktiraf kepada kepimpinan dan tidak akan keluar daripada jemaah muslimin .

DALIL-DALIL PERSYARIATAN BAIAH

Firman Allah swt:

إِنَّ الَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ اللَّهَ يَدُ اللَّهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ فَمَن نَّكَثَ فَإِنَّمَا يَنكُثُ عَلَى نَفْسِهِ وَمَنْ أَوْفَى بِمَا عَاهَدَ عَلَيْهُ اللَّهَ فَسَيُؤْتِيهِ أَجْراً عَظِيماً [6]

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang Yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (Wahai Muhammad - untuk berjuang menentang musuh), mereka Hanya sanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). oleh itu, sesiapa Yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya; dan sesiapa Yang menyempurnakan apa Yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala Yang besar.

Ayat ini menunjukkan baiah yg diberikan oleh Sahabat kepada Rasulullah. Hakikat baiah kepada Rasul adalah juga memberi baiah kepada Allah.

Firman Allah lagi:

لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحاً قَرِيباً [7]

Maksudnya :Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang Yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (Wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa Yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) Yang ada Dalam hati mereka, lalu ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka Dengan kemenangan Yang dekat masa datangnya;

Firman Allah:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا جَاءكَ الْمُؤْمِنَاتُ يُبَايِعْنَكَ عَلَى أَن لا يُشْرِكْنَ بِاللَّهِ شَيْئاً وَلا يَسْرِقْنَ وَلا يَزْنِينَ وَلا يَقْتُلْنَ أَوْلادَهُنَّ وَلا يَأْتِينَ بِبُهْتَانٍ يَفْتَرِينَهُ بَيْنَ أَيْدِيهِنَّ وَأَرْجُلِهِنَّ وَلا يَعْصِينَكَ فِي مَعْرُوفٍ فَبَايِعْهُنَّ وَاسْتَغْفِرْ لَهُنَّ اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
[8]

Maksudnya :Wahai Nabi! apabila orang-orang perempuan Yang beriman datang kepadamu untuk memberi pengakuan taat setia, Bahawa mereka tidak akan melakukan syirik kepada Allah dengan sesuatu pun, dan mereka tidak akan mencuri, dan mereka tidak akan berzina, dan mereka tidak akan membunuh anak-anaknya, dan mereka tidak akan melakukan sesuatu perkara dusta Yang mereka ada-adakan dari kemahuan hati mereka, dan mereka tidak akan menderhaka kepadamu dalam sesuatu perkara Yang baik, - maka Terimalah pengakuan taat setia mereka dan pohonkanlah kepada Allah mengampuni dosa mereka; Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Surah Al Mumtahanah. Ayat : 12

Sementara dalam Hadis dinyatakan:

أَنَّ عُبَادَةَ بْنَ الصَّامِتِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ وَكَانَ شَهِدَ بَدْرًا وَهُوَ أَحَدُ النُّقَبَاءِ لَيْلَةَ الْعَقَبَةِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ وَحَوْلَهُ عِصَابَةٌ مِنْ أَصْحَابِهِ بَايِعُونِي عَلَى أَنْ لا تُشْرِكُوا بِاللَّهِ شَيْئًا وَلا تَسْرِقُوا وَلا تَزْنُوا وَلا تَقْتُلُوا أَوْلادَكُمْ وَلا تَأْتُوا بِبُهْتَانٍ تَفْتَرُونَهُ بَيْنَ أَيْدِيكُمْ وَأَرْجُلِكُمْ وَلا تَعْصُوا فِي مَعْرُوفٍ فَمَنْ وَفَى مِنْكُمْ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ وَمَنْ أَصَابَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا فَعُوقِبَ فِي الدُّنْيَا فَهُوَ كَفَّارَةٌ لَهُ وَمَنْ أَصَابَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا ثُمَّ سَتَرَهُ اللَّهُ فَهُوَ إِلَى اللَّهِ إِنْ شَاءَ عَفَا عَنْهُ وَإِنْ شَاءَ عَاقَبَهُ فَبَايَعْنَاهُ عَلَى ذَلِك

Bahawa Ubadah bin Shomit rha. dan beliau adalah ahli Badar juga salah seorang Nuqaba’ malam Baiatul Aqabah bahawa Rasulullah saw bersabda sedang sekelilingnya satu kumpulan dari para sahabatnya : Berilah baiah kamu kepada ku bahawa kamu tidak menyegutukan Allah swt dengan sesuatu , tidak mencuri , tidak berzina , tidak membunuh anak – anak kamu , tidak mengadakan dakwaan palsu di tengah – tengah masyarakat dan tidak ingkar dalam perkara makruf . Barangsiapa yang telah menunaikan ( janji setianya ) maka ganjaran terserah kepada Allah dan barangsiapa yang terjebak melakukan ( perbuatan mungkar yang disenaraikan ) maka dibalas di dunia sedang ia sebagai kaffarah baginya . Barangsiapa yang terjebak melakukan ( perbuatan mungkar yang disenaraikan ) kemudian di tutuplindung oleh Allah , maka ia terpulang kepada Allah . Jika Allah mahu , Allah ampunkannya dan jika Allah mahu , Allah timpakan akibatnya. Maka kami telah memberi baiah .

Dalam hadis lain:

عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الْوَلِيدِ بْنِ عُبَادَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ بَايَعْنَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِي الْعُسْرِ وَالْيُسْرِ وَالْمَنْشَطِ وَالْمَكْرَهِ وَعَلَى أَثَرَةٍ عَلَيْنَا وَعَلَى أَنْ لا نُنَازِعَ الأَمْرَ أَهْلَهُ وَعَلَى أَنْ نَقُولَ بِالْحَقِّ أَيْنَمَا كُنَّا لا نَخَافُ فِي اللَّهِ لَوْمَةَ لائِمٍ [9]

Dari Ubadah bin Al Walid bin Ubadah dari ayahnya dari datuknya telah berkata : Kami telah memberi baiah kepada Rasulullah saw untuk dengar dan taat dalam keadaan sukar dan senang, cergas dan lemah , bahawa kami tidak mempertikai urusan atau arahan yang diserahkan kepada ahlinya ( yang berkelayakan ) dan sesungguhnya kami akan berkata benar sekira – kira kami , demi agama Allah tidak sekali – kali gentar terhadap celaan mereka yang mencela.

Riwayat Imam Muslim .

Dalam hadis berikut:

عن عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ قَالَ بَايَعْنَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِي عُسْرِنَا وَيُسْرِنَا وَمَنْشَطِنَا وَمَكَارِهِنَا وَعَلَى أَنْ لا نُنَازِعَ الأَمْرَ أَهْلَهُ وَعَلَى أَنْ نَقُولَ بِالْعَدْلِ أَيْنَ كُنَّا لا نَخَافُ فِي اللَّهِ لَوْمَةَ لائِمٍ [10]

Dari Ubadah bin Shomit telah berkata : Kami telah memberi baiah kepada Rasulullah saw untuk dengar dan taat dalam keadaan kami susah , kami senang , kami cergas , kami lemah dan kami tidak mempertikai urusan ( arahan ) yang diberikan kepada ahlinya juga kami berkata dengan saksama bahawa di mana sahaja kami berada , demi agama Allah kami tidak takut celaan orang – orang yang mencela .

Riwayat An Nasaei .

ASAS-ASAS BAIAH

[ 1. Kerajaan Islam ]

· Menyampaikan Agama Islam kepada seluruh ummah dengan menegakkan hujjah tentang kebenaran Islam.

· Melaksanakan tuntutan Amar Makruf Nahi Mungkar.

· Menghapuskan fitnah daripada muka bumi serta memertabatkan Agama Islam dengan mengenepikan segala peraturan2 yg sesat barat.

[ 2. Orang yang dilantik menjadi Imam ( pemimpin ) ]

· Islam
· Berilmu
· Adil
· Punyai jiwa dan jasad yang sempurna dan sejahtera
· Berpengalaman dalam politik, peperangan dan pengurusan.
· Lelaki
· Bangsa Quraisy (sebagaimana yg diperselisihkan)

[ 3. Ahlu halli wal aqdi dan jumhur umat Islam. ]

BAIAH DAN PRINSIP MUSLIM DLM POLITIK ISLAM

Ada beberapa perkara yg perlu dilihat dalam konteks pembahagian kerajaan:

[ 1.Kerajaan Islam yang adil ]

· Beriltizam dengan Islam dan tuntutannya

· Pentadbirnya mentadbir mengikut kaedah yg ditetap olehIslam

· Manhaj diambil dari konsep pentadbiran Rasulullah saw

· Dasar luar dan dalam Negara adalah patuh dan tunduk kepada Allah secara mutlak

· Tujuan kerajaan ini adalah untuk melaksanakan hukum Allah dan menguatkuasa Syariat serta menghidupkan Syiar Islam

*Maka umat Islam WAJIB beri baiah dan wala sepenuhnya kepada kerajaan ini.

[ 2. Kerajaan Islam yg fasiq/zalim ]

· Kerajaan ini mengiktiraf kekuasaan Allah namun menghukum dengan peraturan selain Islam

· Pemimpin mereka Fasiq ( tidak melaksanakan hukum Allah . ) Al marhum Syeikh Said Hawa berkata : Banyak penyelewengan yg boleh dilihat dalam Negara Islam.

Antaranya pemimpin adalah zalim dan fasiq dan ia boleh ditakrifkan sebagai melantik anggota yg tidak layak atau bukan muslim untuk memimpin,tidak beriltizam secara sempurna dengan Syariat terhadap dasar Negara.

Maka dalam keadaan sebegini mengikut pandangan beliau;kita perlu menunggu dan mengawasi perkembangan semasa Negara. Jika ketua kerajaan mengakui kekuasaan Allah tapi yg diiktirafnya adalah nizom selain Islam, maka mereka adalah Fasiq. Oleh itu, sempadan antara kita dengan mereka adalah sembahyang.

Selagimana mereka masih menunaikan sembahyang ,maka mereka tidak boleh diperangi. Sekiranya kita mampu memisahkan diri dari mereka dengan jalan yg selamat, maka pisahkanlah dari mereka. Namun jika sebaliknya, iaitu mereka sudah tidak menunaikan sembahyang maka barulah mereka diperangi sehingga kita berpisah daripada mereka dan dapat kita jalankan hukum hudud dan hak Allah keatas mereka.[11]

*Jadi kerajaan Islam yang menyeleweng (nama kerajaan tersebut diletakkan berdasar peraturan yg dijalankan,sekiranya sekular maka kerajaan Sekular dan sebagainya ) ini perlu dinasihati, dalam perkara kebaikan boleh disokong dan dibantu akan tetapi dalam perkara mungkar dan kezaliman wajib dicegah. Pada ketika ini baiah tak wajib diberikan.

[ 3. Kerajaan kufur ]

· Negara yg tidak mengiktiraf hakimiyyatullah dan tidak tunduk kepada hukum Allah serta manhajnya.

· Adakalanya mereka memerangi hukum Allah dan umat Islam,adakalanya ,mereka berdamai.

*Baiah haram diberikan kepada kerajaan ini dan kepimpinannya. Namun dalam keadaan perdamaian dan diplomasi hendaklah dielak dari berlaku perang.

BAIAH DAN WALA' KEPADA HARAKAH ISLAMIYYAH

Baiah kepada jemaah Islam bukan untuk ketuanya berdasarkan sifatnya sebagai individu.

Ia adalah baiah untuk iltizam kepada asas-asas Islam dan keiltizaman kepada jemaah

Baiah kepada jemaah dan jihad adalah untuk mentahqiqkan (membenar dan mencapai ) matlamat Islam.

Baiah untuk berkorban dengan harta dan nyawa untuk mendapat redha Allah.

Baiah untuk wala' dan membantu sesama muslim atas wadah Jamaah yang Munazzamah.

Sesungguhnya baiah untuk amal Islami dan jihad fisabilillah adalah hakikat baiah dengan Allah taala.

Justeru itu:

Memberi baiah kepada jemaah yang memperjuangkan Islam untuk menegakkan Daulah Islamiyyah adalah WAJIB kerana Ulamak telah menegaskan bahawa Daulah Islamiyyah yang telah runtuh sekian lama hanya dapat ditegakkan dengan adanya jamaah .

( Justeru tidak mungkin individu boleh menegakkan Daulah Islamiyyah tanpa Jamaah yang Munazzamah disamping perjuangan secara solo / individu adalah mukhalafah sunnah. )

Namun apabila ada orang yg tidak mahu memberikan baiah kepada jemaah yang memperjuangkan Islam , maka beliau tidak dianggap bughah dan murtad yg harus diperangi, tetapi beliau berdosa kerana tidak berbaiah atau berjanji setia untuk berjuang dan berkorban demi agama Allah swt. (menjadi peranan kita untuk keluarkan manusia dari berbuat dosa) .

من خلع يداً من طاعة لقي اللَّه يوم القيامة ولا حجة له، ومن مات وليس في عنقه بيعة مات ميتةً جاهليةً

“Sesiapa yang merungkai ketaatannya (dari pemimpin yang adil), ia akan bertemu Allah di hari kiamat dengan tanpa hujjah baginya. Sesiapa yang mati dalam keadaan tiada bai’ah di tengkuknya, ia mati sebagai mati jahiliah”.

(Riwayat Imam Muslim dari Ibnu ‘Umar r.a.)

Pada zaman Rasulullah s.a.w., sekelian para sahabat memberi bai’ah mereka kepada Rasulullah s.a.w.. Adapun selepas zaman baginda, umat Islam wajib memberi bai’ah kepada pemimpin-pemimpin yang dilantik di kalangan mereka.

Perlantikan pimpinan .

Sabda Rasulullah s.a.w.;

إذا خرج ثلاثة في سفر فليؤمروا أحدهم

“Apabila keluar tiga orang dalam satu perjalanan, maka hendaklah mereka mengangkat salah seorang sebagai pemimpin”.

(Riwayat Imam Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.)

Jika dalam urusan duniawi (iaitu urusan musafir) Rasulullah mengarahkan supaya dilantik pemimpin, maka lebih-lebih lagi dalam urusan agama dan perjuangan Islam. Institusi kepimpinan amat penting kepada perjuangan dan gerakan Islam.

Justeru itu, menjadi kewajipan ke atas setiap ahli gerakan Islam untuk memberi bai’ah yang tidak berbelah bagi kepada pemimpin jamaah.

Jika dilihat kepada bai’ah yang diambil oleh Rasulullah dari golongan Ansar (melalui bai’atul Aqabah pertama dan kedua), ada dua bentuk bai’ah yang mesti menjadi kelaziman setiap ahli harakah iaitu;

Bai’ah untuk sentiasa berpegang-teguh dan beramal dengan setiap ajaran Islam,

Bai’ah untuk bersungguh-sungguh memperjuang dan mempertahankan Islam hingga ke titisan darah yang terakhir.

Menurut riwayat Ubadah bin Shamit, salah seorang sahabat yang menyertai bai’atul Aqabah pertama pada tahun ke 12 nubuwwah; dalam bai’ah tersebut Rasulullah s.a.w. mengambil bai’ah dari Ansar dalam perkara berikut;

1. Tidak menyengutukan Allah dengan sesuatu apa pun.
2. Tidak mencuri, berzina dan membunuh anak.
3. Tidak mengadakan dakwaan palsu di tengah-tengah masyarakat.
4. Tidak mengengkari Rasullullah di dalam perkara makruf.

Jelas bahawa bai’ah tersebut hanya menyentuh aspek pengamalan dengan ajaran Islam, tanpa melibatkan perjuangan atau peperangan. Namun dalam bai’ah berikutnya iaitu bai’atul ‘Aqabah kedua pada tahun ke 13 nubuwwah, kandungan bai’ah ialah;

Dengar dan patuh kepada arahan nabi s.a.w. sama ada diwaktu rajin atau malas. Memberi nafkah (kepada perjuangan) sama ada di waktu senang atau susah. Melaksanakan amar makruf dan nahi munkar.

Bangun menegakkan agama Allah tanpa menghirau celaan sesiapa pun. Memberi pertolongan kepada Nabi s.a.w. apabila baginda sampai di Madinah dan mempertahannya sama seperti mempertahankan diri sendiri, isteri dan anak-pinak.

(Riwayat dari Jabir r.a.).

Nyatalah kepada kita bahawa tanggungjawab seorang muslim bukan hanya beramal dengan Islam, tetapi juga mempertahan dan mengangkat martabat Islam dengan segala pengorbanan yang ada. Jadi, bai’ahnya terhadap harakah juga semestinya merangkumi dua hal tersebut.

· Bai’ah untuk sentiasa berpegang-teguh dan beramal dengan setiap ajaran Islam,

· Bai’ah untuk bersungguh-sungguh memperjuang dan mempertahankan Islam hingga ke titisan darah yang terakhir.

[1] Majma' Lughah Arabiah,Hai'ah Masriyyah m.s 141
[2] Kitab karangan beliau,Muqaddimah,cetakan Mustafa Mohd,Mesir, m.s 209
[3] Al-Fikru As-Siasi 'indal Mawardi,cetakan Dar At-Thaqafah,m.s 189.
[4] An-Nizam As-Siasi fil Islam,Beirut,m.s 229
[5] Nizam Islam,Al-Hukm wad Daulah,dar Al-Fikr,m.s 30.
[6] Surah Al-Fath ayat 10
[7] Surah Al-Fath ayat 18
[8] Surah Al-Mumtahanah ayat 12
[9] Riwayat Imam Muslim no 3426
[10] Riwayat An-Nasaie no 4083
[11] Jundullah Thaqafatan wa Akhlaaqan

Disusun dan dibentang oleh :

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Get ISLAMIC-Graphics