PEMIKIR UMMAH

Saturday, 31 December 2011

Tahun Baru, Sambut Tahun Lama


Kehadiran Tahun Baru dilihat sebagai satu hari perayaan yang disambut dengan pelbagai upacara yang kebiasaannya menelan perbelanjaan yang besar. Orang ramai diajak berkumpul di tempat-tempat yang tertentu sama ada secara terbuka mahupun tertutup dan mereka disajikan dengan pelbagai program hiburan yang mengasyikkan serta bertentangan dengan Islam.

Bahkan di sesetengah perhimpunan tersebut dicemari dengan aksi pergaulan bebas diantara kaum lelaki dengan perempuan, pesta tari-menari, penggunaan pakaian yang menjolok mata bahkan adakala minuman keras turut disajikan sambil masing-masing menunggu kedatangan detik 12 malam yang menunujukkan masuk Tahun Baru. Maka sorak-sorai serta jerit-pekit gembira bergema apabila jam tepat menunjukkan pukul 12 malam.

Hiburan berunsur maksiat ini akan berterusan sehingga pagi hari, ini sebenar budaya kaum yang ingkar kepada perintah Allah s.w.t yang telah menjadi ikutan muda-mudi Islam pada masa kini. Budaya sebegini giat dipropagandakan di Negara Islam melalui musuh-mush Islam agar ummat Islam terpesong dari perintah yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.

Hakikatnya, kita telah diperingatkan Allah tentang niat buruk golongan ini melalui firman-NYA yang bermaksud :

“Órang-orang yahudi dan nasrani tidak akan sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah kepada mereka : “sesungguhnya petunjuk Allah
(agama Islam itu adalah petunjuk yang benar)”.
-ayat 12 surah al_baqarah-

Seperti yang telah sedia maklum, upacara sambutan tahun baru ini kebanyakan adalah pesta-pesta yang dipenuhi dengan perkara-perkara yang berunsur maksiat dan Allah s.w.t. telah menjanjikan azab yang pedih bagi mereka yang berpesta di atas muka bumi ini atas perbuatan-perbuatan terlarang.

Dapat kita katakan golongan manusia yang berperangai sebegitu rupa sebenarnya bukan menyambut tahun baru, tetapi mereka kembali menyambut tahun lama seperti zaman jahiliyyah.

..........................

Tidaklah menjadi kesalahan sekiranya setiap kali menjelang Tahun Baru, seseorang muslim itu melakukan muhasabah terhadap apa yang telah berlaku dalam hidup dan berusaha untuk membuat perancangan dalam memperbaiki apa jua kelemahan yang ada dalam diri masing-masing.

Oleh itu, apabila tiba tahun Baru, maka tidaklah dilarang untuk seseorang itu menanam azam baru yang positif serta selari dengan syarak untuk memastikan azam tersebut menjadi reality bukan sekadar angan-angan.

Apa yang lebih baik, ummat islam mengutamakan Tahun Baru mengikut kalendar  Islam. Ini kerana penggunaan kalendar Islam lebih wajar untuk diperluaskan dalam urusan-urusan harian dikalangan ummat Islam sendiri. Mereka perlu merasa bangga terhadap agama Islam yang dianutinya serta syiar-syiar yang berkatian dengannya.

Janganlah kita menjadi ummat yang tidak mempunyai pegangan, lantas mudah terikut-ikut dengan budaya-budaya asing yang cuba ditanam dalam masyarakat kita dengan tujuan untuk menjauhkan kita dari jalan yang lurus lagi diredhai Allah s.w.t.

Hindarkan diri kita daripada menjadi agen-agen yang mempopularkan hidup musuh-musuh Islam serta menyohorkan budaya-budaya kuning mereka sehingga ia mengalahkan atau menggantikan cara hidup dan akhlak-akhlak yang lebih Islamik.

~ TAHUN BARU, AZAM BARU ~

Friday, 30 December 2011

Menghukum Sebelum Mengetahui? (MATEMATIK BUKU JINGGA)


Pemimpin hendak dijadikan hamba kepada rakyat? Bukan begitu yang diinginkan dan dimaksudkan, apa yang diiinginkan adalah menjadi sebuah negara dimana pemimpin dan rakyatnya saling bekerjasama membangunkan Negara sama ada dari zahirnya atau batinnya.

Buku Jingga, merupakan formula yang sudah lama telah digembar-gemburkan oleh Paktan Rakyat, pelbagai pandangan telah didengari dari kedua-dua belah pihak sama ada yang menyokong atau mengkritik sehabis-habisnya.

Tetapi apa yang penting disini janganlah menjadi seperti manusia yang tidak bijak, jelek kerana pandai menghukum tanpa pernah memberi peluang. Tidak adil namanya. takutkan perkara yang akan berlaku pada masa hadapannya, las-last takutkan bayang-bayang sendri (memang begitu lah nampak gayanya). Tidak pernah berusaha, belum mencuba sudah membuat kesimpulan.

Peluang tidak diberikan, sudah pula tu dihina habis-habisan. Lihat sahaja pada negeri yang telah diperintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat. Apakah hasilnya? Terang lagi bersuluh, segala hasil negeri dikembalikan semula kepada rakyat jelatanya. Kerana takut mereka tidak menyiarkan di media-media yang mereka sudah kuasainya sekarang. (haha... macam gajah takutkan semut) lucu bukan.

Kenapa masih lagi ada yang mempercayai mulut-mulut yang sudah lama basi dengan adegen fitnahnya, penipunya dan pelbagai macam jenis perkara jijik yang melekat pada diri mereka.

Sedikit pengenalan.....

Buku Jingga adalah sebuah buku berwarna jingga yang menerangkan dasar-dasar Pakatan Rakyat dalam keseluruhan aspek pentadbiran Negara melibatkan reformasi politik, ekonomi dan sosial. Ia turut memuatkan Program 100 Hari Pakatan Rakyat, iaitu 10 langkah pertama yang akan diambil oleh Pakatan Rakyat apabila berkuasa kelak, untuk memberikan gambaran yang jelas sebagaimana kerajaan Pakatan Rakyat akan mengubah lanskap kehidupan seluruh rakyat Malaysia.

ANTARANYA :

JANJI
KOS
BAGAIMANA MENAMPUNG
Memansuhkan tol bermula
dengan PLUS.
KWSP dan Khazanah telahpun memiliki 66% dari PLUS. Aset dan operasi PLUS dianggarkan berjumlah RM23 bilion.

Maka untuk mengambil alih PLUS, perlukan RM7.8 bilion.

Kos menyelenggara tahunan PLUS adalah RM300 juta.

Jumlah kutipan tol PLUS setiap tahun adalah RM2 bilion.

Jumlah pamPASan yang dibayar kerajaan setiap tahun adalah RM800 juta.
Hentikan ketirisan RM28 bilion dan gunakan subsidi gas kepada korporat berjumlah RM19 bilion untuk mengambil alih PLUS.

Kos menyenggara dan pengurusan PLUS (yang belumpun dikurangkan) adalah lebih rendah dari belanja yang ditanggaung kerajaan sebanyak RM800 juta setiap tahun.

Jika kerajaan menyenggara PLUS, tanggungan kewangan masih rendah tetapi baiknya, rakyat menjimatkan RM2 bilion tol yang kini terpaksa dibayar.

Imbuhan khas RM500 setiap bulan kepada setiap orang guru.
Anggaran jumlah guru dan pegawai pendidikan adalah 520,000

Kos setiap tahun adalah RM3.2 bilion.
Hentikan ketirisan RM28 bilion dan gunakan sebahagian dari subsidi gas kepada korporat berjumlah RM19 bilion yang diselamatkan untuk membayar imbuhan guru.

Memulangkan konsesi air kepada rakyat.
Sudahpun dilakukan di Selangor dan skim Berjaya menampung RM12 juta setiap bulan sebagai air percuma kepada rakyat.
Sudahpun dilakukan di Selangor dan skim Berjaya menampung RM12 juta setiap bulan sebagai air percuma kepada rakyat.

Menyediakan Wi-Fi percuma kepada rakyat.
Anggaran kos pelaksanaan di Selangor untuk menyediakan perkhidmatan wi-fi bagi tujuan melayari internet adalah RM9 juta setiap tahun di seluruh negeri Selangor.

Kos adalah terlalu kecil dan boleh ditampung melalui pelbagai penjimatan yang boleh dibuat.
Mengekalkan subsidi bahan api dan makanan kepada rakyat termiskin.
Anggaran bahan api (petrol dan diesel) yang digunakan oleh rakyat setiap tahun adalah 10 bilion liter.

Anggaran golongan benar-benar layak mendapat subsidi adalah 50% dari pengguna, iaitu 5 bilion liter setiap tahun yang perlu diberikan subsidi.

Anggaran subsidi setiap liter (pada harga minyak mentah USD80 setong) adalah 40 sen.

Maka, anggaran kos subsidi yang perlu ditanggung adalah RM2 bilion – RM3 bilion setiap tahun.

Anggaran subsidi makanan adalah RM4 bilion setiap tahun, seperti belanjawan.

Hentikan ketirisan RM28 bilion dan gunakan sebahagian dari subsidi gas kepada korporat berjumlah RM19 bilion yang diselamatkan untuk menampung subsidi kepada rakyat.


p/s : 


Di atas adalah antara sahaja.
bagi ingin mengetahui lebih lanjut boleh mendownload BUKU JINGGA format pdf 
(klik di sini)


Lumba Kahwin Murah


SUBHANALLAH, ALHAMDULILLAH, ALLAHUAKBAR.

Memandangkan cuti akhir tahun, semestinya ramai yang akan melangsungkan walimatul urus. Tidak terlambat rasanya untuk ku bawakan topic ini bersama sahabat pembaca.

Walau tidak ingin melangsungkan perkahwinan hujung tahun ini, tetapi boleh ambilnya sebagai rujukan buat melangsungkan perkahwinan pada masa hadapan.

Rasulullah s.a.w bersabda :
“Termasuk keberkatan seorang wanita adalah mudah lamarannya,
ringan mas kahwinnya dan subur rahimnya” (Riwayat Ahmad)

PENGQESAHANNYA :

“Qani’ah cadang nak buat majlis akad dan kenduri kahwin pada hari yang sama kat sana. Cadangnya, 15 Syaaban. Muslih cadang majlis kita empat hari selepas tu,” jawab Dr. Muslih.

“Mas kahwin dan hantaran macam mana?’ Tanya ibunya lagi.

“Dia kata RM70 aje. Hantaran katanya, tak bagi pun tak apa, sebab nak memudahkan kita dan nak keberkatan,” jawab Dr. Muslih dengan menyembunyikan segala rasa malu. Dia juga bagaikan tidak percaya dengan e-mail yang diterimanya daripada Qani’ah tempoh hari.

Bukan senang nak menemui seorang gadis yang berasa mulia ketika meletakkan maharnya semurah itu pada zaman ini. Tapi dia yakin, seorang Muslimah sejati seperti Qani’ah tentu sekali akan lebih mementingkan berkat dalam perkahwinannya, sebaik-baik mahar ialah mahar yang paling sederhana. (rujuk Riwayat al-Nasa’i)

“Eh mana boleh tu! Dia kan pelajar Master, takkan RM70 aje. Tu, anak Makcik Gayah yang kerja kilang pun hantarannya saja dah RM10,000. Bukan ada ijazah pun, SPM pun tak ada. Dia ada PMR aje,” sangkal Kak Long.

“Orang faham agama lain ukurannya,” kata ayah.

“Hmm, tak taulah sekarang ni. Semua nak bertanding siapa yang lebih mahal. Patutnya bertanding siapa yang lebih murah sebab Nabi sabda yang lebih murah lebih baik dan lebih berkat,” kata ibunya sambil menggeleng.

“Sekarang ni lain, orang mana fikir pasal berkat dah. Kawan abah sanggup top up duitnya sendiri untuk hantaran anak perempuannya supaya orang Nampak mahal. Ni satu persaingan yang tidak sihat,” kata ayahnya. Perbincangan makin menarik.

“Tengok Kak Long, lulusan luar Negara. Tapi mas kahwin mak abah letak sikit aje. Tengok sekarang punyalah berkat. Lepas sorang, sorang lagi dapat anak,” kata ibunya sambil ketawa. Kak Long menjeling suaminya yang sejak tadi asyik membelek akhbar. Mata mereka saling bertembung dan mereka saling tersenyum.

“Yalah, kalu letak mahal-mahal mana berkat? Kalu mampu sekalipun, ia lambang sifat menunjuk-nunjuk dan meyombong diri. Kalau tak mampu, hidup takkan senang sebab banyak hutang. Rumah tangga jadi tak tenteram. Kalau betul RM70, baguslah. Sangat-sangat berkat,” kata ayah Dr. Muslih.

“Tu hajat Qani’ah, ayah. Dia memang nak maharnya rendah tapi belum bincang dengan keluarga dia lagi. Muslih dah pesan padanya, hajat keluarga kena rai juga. Keluarga dia lebih berhak tentukan berapa jumlah mas kahwin dan hantaran. Muslih reda walau berapa pun jumlahnya. Kalau tinggi pun tak apa, hadiah ikhlas buat isteri;” kata Dr. Muslih.

Ringkasnya....................

Tiga hari kemudian, Dr. Muslih bersama ayah dan ibunya berangkat menziarahi keluarga bakal isterinya untuk membincangkan lebih detail lagi tentang perkahwinannya.

Dua keluarga kini bersua muka buat kali kedua. Kali pertama semasa hari pertunangan. Perbincangan berjalan lancar. Menyebut tentang tarikh, 15 Syaaban telah disepakati oleh kedua-dua belah pihak. Apabila menyebut tentang mas kahwin dan hantaran, keluarga Dr. Muslih sedikit terkejut dengan jumlah yang sangat rendah yang diletakkan oleh pihak keluarga perempuan.

“Mas kahwin tu bagi RM84 cukuplah. Hantaran tu tak bagi pun tak apa. Kalau nak bagi juga, tak perlu disebut kepda sesiapa,” ujar ayah Qani’ah.

Dr. Muslih tahu, majoriti masyarakat di situ kebiasaannya meletakkan mas kahwih anak perempuannya paling kurang RM10,000 hiangga RM15,000 serba satu. Nilai mahar dan hantarannya itu pula dengan bangganya diumumkan dalam lafaz akad atau ketika majlis akad dan diisytiharkan pula oleh kadi.

Namun dia pula hanya perlu melafaz RM84 sahaja. Hantarannya pula tidak disyaratkan untuk memberinya. Terpulang kepada keikhlasan hati.

‘Masya-Allah sungguh mahal dan bernilai harga keberkatan yang diletakkan oleh Qania’ah,’ hati Dr. Muslih teruja. Memang betul, keluarga yang taat beragama hanya mendambakan berkat perkahwinan buat puteri mereka, bukannya material semata-mata.

-dipetik dari novelis Dr.Farhan Hadi

*** ketika orang lain merasakan satu kemuliaan meletakkan harga tinggi dalam urusan ini seolah-olah ingin menjual anak mereka, tetapi keluarga Qani’ah tidak mudah mengikut arus. Mereka merasakan satu kemuliaan meletakkan nilai yang sederhana dengan kemilau hikmah yang sangat berharga. Kelulusan pendidikan Qani’ah yang tinggi bukan menjadi tiket oleh mereka untuk meletakkan nilai berbelas ribu ringgit sebagaimana kebiasaan masyarakat menjadikan ukuran***

p/s : angkat tangan sapew yang nak perkahwinan macam nih.

~AMAL, KEBERKATAN SEBUAH KELUARGA BERMULA SEBELUM PERKAHWINAN~

Saturday, 24 December 2011

Ajar Vs Didik @ Ajar Compare Didik



Alhamdulillah, serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w

Kali ini ingin membawa suatu topik kepada sahabat pembaca sekalian.
Tugas guru mengajar atau mendidik?

apa bezanya mengajar dengan mendidik?


Selama ini kita belajar di sekolah, guru kita mengajar kita atau mendidik kita yer?
Bersama kita kongsikan apa itu mengajar dan apa itu pula mendidik.

mengajar = ta’lim

mendidik = tarbiyyah


Sama-sama kita “membuka minda” kita untuk berfikir..

kerana yg membezakan kita dengan makhluk yang lain ialah ‘aqal


Rasulullah s.a.w menyebut betapa tingginya nilai nikmat ‘aqal ini dalam sabdanya:
“Allah tidaklah mencipta suatu kejadian yang lebih mulia dari ‘aqal”

Disini bukanlah untuk menghuraikan nikmat ‘aqal itu sendiri tapi bagaimana kita menggunakan ciptaan Allah ini dengan sebaiknya kerana ‘aqal yang digunakan dengan baik akan memperoleh ilmu yang berguna yang mana ilmu ini kelak akan menghampirkan diri dengan Allah s.w.t mengetahui keagungan Allah serta kekuatanNYA…

Berbalik kepada tugas atau peranan guru….

apa pendapat sahabat pembaca?



Tugas guru mengajar atau mendidik atau kedua-duanya sekali….?



Banyak pendapat yang dilontarkan apabila berbincang isu ini…

secara jujur boleh dikatakan masing-masing menjawab menggunakan ilmu yang ada pada masing-masing…tidak salah untuk mengeluarkan pendapat..

tapi bukankah lebih bernas jika kita bersandarkan al-quran dan sunnah?
(teguran buat penulis juga)


Apakah baginda membawa ajaran atau didikan?
Jawapannya, kedua-duanya dirangkumkan oleh baginda. Bukan sekadar hanya mengajar,yakni memberikan maklumat, tetapi mendidik yakni mengasuh jiwa dan hati.

Mengajar ataupun ta’lim maknanya kita memberi pengetahuan dan maklumat mengenai sesuatu perkara. Inilah yang diajarkan dan dibawa oleh Baginda. Kita semua maklum, baginda datang dengan menbawa berita, bukan hanya berita gembira dengan adanya syurga tetapi juga dengan berita duka dengan adanya neraka. Baginda mengajarkan kita, bahawa syurga adalah balasan bagi mereka yang melakukan kebaikan dan amalan soleh,manakala neraka adalah balasan bagi mereka yang ingkar dan melakukan kemaksiatan kepada Allah. Nabi s.a.w menyampaikan semua maklumat di atas,yang mana dengan demikian itu manusia yang asalnya tidak tahu, lantas menjadi tahu. Ini yang dimaksudkan sebagai mengajar. Contoh yang lain, antaranya Nabi mengajarkan mengenai rukun-rukun solat, bagaimana hendak melakukan taat, bagaimana hendak berzakat dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, Baginda tidak mengabaikan aspek didikan yang disebut sebagai Tarbiyyah. Inilah saudara kembar kepada Ta’lim. Tidak cukup hanya sekadar tahu bahawa adanya syurga bagi yang melakukan amal soleh, tetapi lebih daripada itu adalah bagaimana cara sebenar melakukan amal soleh dan amal ubudiyyah yang lain untuk mendapatkan syurga. Dengan kefahaman dan tarbiyyah,maka manusia menjadi lebih terdidik jiwanya,sehinggalah sampai kepada peringkat melakukan amal ubudiyyah kepada Allah hanyalah semata-mata mengharapkan Mardhotillah,iaitu keredhaan Allah,bukan lagi mengharapkan syurga.

Jadi sama-sama kita muhasabah

Lihat situasi sekarang bagaimana guru-guru kita di sekolah. Bukan hendak memberontak, tapi sekadar pandangan.

Bagaimana untuk kita (sebagai guru) nak mendidik generasi akan datang sekiranya diri kita sendiri tidak terdidik? (sama-sama renungkan).



Guru perlu mendidik pelajar, siapa pula ingin mendidik guru?


Perlu difikirkan......,
Sekadar pandangan. Post Kementerian Pelajaran adalah penting bagi seseorang yang mempunyai tarbiah untuk menduduki jawatan ini, agar dapat mencorakkan guru ke arah yang betul, supaya dapat mendidik para pelajar di sekolah bukan sekadar mengajar.

~ GURU PEMANGKIN GENERASI MURABBI ~



Saturday, 17 December 2011

Manfaatkan Cuti Sekolah Yang Masih Berbaki Ini


Dicedok Dari Khutbah Jumaat :
الْحَمْدُلِلهِ الْقَائِلْ،
ALHAMDULILLAH, pada kesempatan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan ini, bersama kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Kita laksanakan segala suruhan dan titah perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah mudahan kita tergolong dalam golongan orang yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Cuti akhir tahun persekolahan anak-anak kita kini sudah hampir ke penghujungnya. Manfaatkan sebaiknya cuti yang masih berbaki ini dengan mengetahui dahulu antara tujuan cuti persekolahan. Tujuannya semestinya untuk memberi sedikit kerehatan kepada murid-murid sekolah yang sudah sekian lama belajar, sebelum mereka menyambung semula pelajaran mereka pada tahun akan datang.

Cuti akhir tahun adalah satu cuti yang agak panjang iaitu lebih daripada sebulan, namun jika ianya tidak diuruskan dengan baik, ia akan menjadi sia-sia dan berlalu begitu sahaja. Justeru, musim cuti persekolahan perlu dirancang dan diurus dengan baik supaya ianya dapat memberi manfaat kepada anak-anak, ibu bapa dan masyarakat.

Setiap ibu bapa hendaklah bijak menguruskan cuti persekolahan anak- anak mereka. Orang yang beriman tidak akan membiarkan diri mereka dan keluarga mereka berada dalam keadaan lagho atau pun sia-sia.

Kata imam Asy-syahid Hasan Al-Banna:
" Kewajipan (yang perlu kita sempurnakan) adalah lebih banyak dari masa yang kita ada, maka sepatutnya tidak ada satu saat yang kita biarkan ianya berlalu tanpa kita menggunakannya dengan melakukan perkara-perkara yang berfaedah " .

Justeru, ibu bapa hendaklah :
1 . Menyedarkan mereka bahawa musim cuti bukan dihabiskan untuk berehat semata-mata, bermain, tidur dan menonton televisyen sepuas-puasnya, sebaliknya musim cuti adalah masa untuk memperkayakan ilmu pengetahuan dengan:
* Mengulangkaji pelajaran sebagai persediaan untuk mengahadapi peperiksaan pada tahun-tahun berikutnya;
* Ibu bapa dicadangkan mencari guru-guru yang berpengalaman untuk menyelesaikan masalah pembelajaran anak-anak dengan kelas-kelas tuisyen dan aktiviti latih tubi;
* Melibatkan anak-anak dengan kelas-kelas kesedaran Islam, Fardhu Ain, Tahsin Qiraat, Smart Solat dan kelas-kelas hafazan jangka pendek.
2 . Ibu bapa perlu membimbing anak-anak untuk memilih budaya hidup yang sihat. Masa lapang yang agak panjang pada musim cuti sekolah hendaklah diaturkan dengan program dan aktiviti yang mampu memantapkan fizikal anak-anak seperti penyertaan dalam ekspidisi mendaki bukit, berbasikal, penyertaan dalam sukan anjuran masjid, waja diri, berkebun dan lain-lain .
3 . Libatkan anak-anak dalam program dan aktiviti yang boleh mendorong mereka berjaya seperti Kem Motivasi , Nadwah Islam, rehlah, Kem Insan cemerlang dan lain-lain.
4 . Memberikan pendedahan kepada anak-anak remaja anasir-anasir yang boleh meruntuhkan Islam seperti keruntuhan akhlak, akidah dan syariat yang akhirnya membawa kerosakan kepada kehidupan.

Sebagai ibu bapa kita haruslah peka dengan perkembangan gejala sosial dan hendaklah mencari jalan penyelesaian terutama bagaimana harus menyelamatkan generasi anak-anak kita agar tidak menjadi mangsa kerosakan itu.

Inilah masanya yang paling sesuai untuk ibu bapa memberikan penekanan mengenai ilmu agama atau pun ilmu Fardu Ain. Jika pada masa persekolahan kita sibuk menekankan kecemerlangan akademik, maka inilah masanya kita memanfaatkan ruang ini untuk membekalkan anak-anak kita dengan ilmu agama sebagai panduan hidup mereka dalam mengharungi arus dunia yang bersimpang-siur ini.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang sedang belajar di sekolah rendah, di mana kebanyakan anak-anak belum lagi mencapai umur baligh, maka sepatutnya ibu bapa mengambil peluang ini untuk memastikan anak-anak mereka dapat menguasai dengan baik ilmu Fardu Ain sebelum anak mereka mencapai umur baligh. Ini kerana, apabila anak-anak telah mencapai umur baligh, segala perbuatan mereka telah dikira dosa dan pahala. Mereka akan berdosa jika tidak dapat soat dengan betul, mereka akan berdosa jika tidak dapat melakukan puasa dengan sah. Maka kewajipan ibu bapa bukan sahaja perlu untuk memberikan ilmu Fardhu Ain kepada anak-anak, bahkah membimbing serta menguatkuasakan perintah Allah yang wajib kepada anak-anak khususnya kewajipan solat.

Anak-anak adalah amanah Allah. Maka menjadi kewajipan ibu bapa untuk memastikan anak-anak sentiasa taat kepada Allah. Ibu bapa dan juga murid perlu merebut peluang musim cuti persekolahan ini untuk membangunkan syakhsiah yang sihat. Pada masa inilah saat yang paling sesuai bagi ibu bapa membina kekuatan syakhsiah anak-anak setelah hampir sepanjang tahun penumpuan dan penekanan diberikan kepada kecemerlangan akademik. Mereka perlu diajar bagaimana menjadi ahli masyarakat yang baik. Ibu bapa perlu menggunakan peluang ini untuk membina dan memantapkan syakhsiah dan jati diri anak-anak seperti menghantar mereka menyertai Khemah Ibadah untuk membentuk akhlak dan memperkasakan jati diri anak-anak.

Ambillah peluang di musim cuti persekolahan ini untuk merapatkan hubungan silaturrahim, khususnya bagi keluarga terdekat dengan menziarahi saudara-mara sama ada yang di kampung atau di bandar apabila hubungan kekeluargaan dan saudara-mara menjadi akrab dan mantap, hidup akan menjadi ceria dan mendapat rahmat dan keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala.

Selain itu, gunakanlah juga peluang cuti persekolahan ini untuk berjalan-jalan menikmati keindahan alam semulajadi negara kita yang kaya dan indah ini. Aktiviti ini sebenarnya meningkatkan kefahaman akidah dan tauhid kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan supaya kita akan merasa betapa bersyukurnya mendapat berbagai-bagai kurniaan Allah.

Sesungguhnya banyak perkara yang boleh dimanfaatkan pada musim cuti persekolahan ini. Rancanglah dengan baik, jika kita gagal untuk merancang, bererti kita sebenarnya merancang untuk gagal.

~ BERSAMA MANFAATKAN CUTI PERSEKOLAHAN~

Pengkhianatan Terhadap Agama


Buat sebahagian generasi muda yang kurang mengingati dek kerna berleluasanya maksiat, bersama melihat kembali sejarah pengkhianatan u.m.n.o. terhadap agam Islam yang Agung ini.

* Melanggar keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan bertafakur di depan tugu.

* Menutup surau Jubli Perak Bandar Baru Bangi yang mendirikan Jumaat dan imamnya ditangkap.

* Merobohkan surau Bujal di Kemaman dan banyak lagi kes merobohkan seumpamanya.

* Menjelang Ramadhan 2007 Surau al-Rahman Sek 8 Shah Alam diarah tutup.

* Kabinet buang garis panduan hiburan yang dibuat oleh JAKIM.

* Membiarkan  kumpulan artis anti hadis yamg berada di dalam u.m..n.o.

* Selepas MERDEKA orang Islam ada 82%, setelah 52 tahun merdeka hanya tinggal 52% di bawah pemerintah u.m.n.o.

* Menghapuskan tulisan jawi sehingga orag Islam tidak pandai membaca Al-Quran.

* Membatalkan cuti hari Jumaat sebagai cuti umum di Negeri Johor dan Perlis. Tan Sri Muhyiddin MB Johor ketika itu.

* Menghentikan bantuan perkapita kepada Sekolah Agama Rakyat.

* Datuk Seri Khir Toyo telah menarik wang zakat yang diberikan kepada pelajar-pelajar yang belajar di al-Azhar yang dituduh terlibat dengan parti pembangkang.

* Tun Dr. Mahathir telah mencuba untuk membuang nama Islam pada pertubuhan di Negara ini.

* Datuk Seri Zahid Hamidi selaku Menteri  telah berjumpa dengan Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak semasa Pertunjukan Udara Paris di Perancis Jun 2009.

* U.M.N.O. marah JAWI tangkap 100 orang Islam di kelab Zouk Ampang.

Thursday, 15 December 2011

Duhai Sahabat Ku


Memikirkan sahabat-sahabat ku yang telah lama bersahabat, bermain bersama, panjat pokok bersama, dirotan cikgu bersama. Maka kerisauan dalam diri akan keadaan mereka semua dalam dunia sekarang yang serba moden dengan maksiat yang semakin sukar untuk dibendung.

Maka....

Lebih kurang 3 minggu yang lepas, telah ditakdirkan untuk ku membuat satu group di laman muka buku bagi mengumpulkan kembali rakan-rakan ku yang telah mengharungi cabaran pelajaran di awal bangku persekolahan.

Bermula darjah 1 sehingga darjah 6.

Sungguh menyeronokkan kerana group ini dapat menyua kembali rakan-rakan ku dahulu. Walaupun tidak dapat bersua muka, tetapi dengan berchating di laman muka buku ini sudah menggembirakan.
Ku mengharapkan ikatan ukhwah yang dijalinkan tidak putus buat selamanya,

'‘BERTEMU KERNA ALLAH, BERPISAH KERNA ALLAH JUA’'

Rindu akan kenangan suka-duka bersama sewaktu kecil......membuatkan kami berkongsi pelbagai cerita dalam group tersebut. Kesedihan yang dahulunya, sekarang sudah menjadi satu kenangan yang menyeronokkan.

Tetapi tidak mencukupi dengan bersembang dengan bualan kosong sahaja, maka ku selitkan beberapa info berkaitan agama. Mula la berlumba-lumba dyorang mengepost di dalam group tersebut. Menjadi satu aktiviti yang menarik pula.

Syukur Alhamdulillah, masih ada rakan ku yang mempunyai tarbiah dirinya.

Sedikit lama kemudian, maka ku cuba dengan mengepost sedikit siyasah yang bertajuk demonstrasi aman Matau, Jengka dalam tulisan blog ku yang lalu.

Ku ingin melihat reaksi sahabat-sahabat ku, dalam dunia serba moden, adakah minda orang yang masih muda yang dipanggil ‘Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara’ ini berminda moden juga atau kekal di takuk lama sebagaimana golongan veteran-veteran terdahulu???

Nampak gayanya memang sebegitulah jawapannya masih di takuk lama, yang tidak inginkan perbincangan politik dibincangkan di group tersebut. Maka berlakulah komen-mengomen, bahas-membahas tentang status yang ku postkan.

Ada yang setuju, dan ada yang tidak, kebanyakannya adalah menetang. Maka ku teruskan dengan penerangan-penerangan yang sepatutnya bagi melegakan keadaan (yang tidak tegang seberapa pun) sekadar pandangan mereka semua.

Sedikit bertambah ada yang menerima dan juga masih ada yang kekal dengan pendirian mereka, tidak perlu bincang hal sebegini.

Katanya “join group nih sekadar ingin berjumpa dengan kawan-kawan lama”.

Kerisauan yang mula timbul dibenak ku, aku mengambil jalan tengah menghentikan daripada membincangkan hal siyasah ini. Dibimbangi mereka akan keluar dari group tersebut. Lebih susah untuk tarbiah menular ke sahabat-sahabt ku nanti.

Itulah mereka orang muda yang tidak memikirkan hal saudara-saudaranya, atau mengenai siyasah dan Negara mereka sendiri, sedangkan setiap keaadaan yang berlaku akan melibatkan diri mereka juga. Kerana apa ya???

Walaupun harga barangan kos sara hidup semakin meningkat, tetapi tidak dihiraukan. Kasihan yang miskin kan. Tidak lain kerana kehidupan mereka masih serba-serbi mencukupi. Dengan rumahnya, wang ditangannya dan bermacam-macam lagi.

Tanpa memikirkan akan kehidupan mereka masa hadapan.

Mungkin ada betulnya, sahabat tidak mahu membincangkannya. Kenapa perlu terburu-buru ku ingin bincangkan hal tersebut, sedangkan masalah agama masih banyak lagi yang perlu diselesaikan.

Kedua-duanya ada pro dan kontranya. Tak pe....biarkanlah dahulu. Slow-slow dahulu.

Semestinya perkara sebegini menjadi masalah kepada semua insan yang tidak berminat untuk mengambil cakna akal hal negaranya. Kerana didikan agama yang menyeluruh tidak lagi kesampaian ke jiwa-jiwa mereka. Itulah pentingnya Tarbiah Islamiyyah kepada setiap diri seseorang itu.

Agar mengambil Islam itu dalam semua konteks (syumuliyyah). Tidak sekadar solat, puasa, zakat, dan haji.

Itulah sahabat-sahabt ku yang banyak memberi ku pengalaman suka dan duka.

~ PEMUDA HARAPAN BANGSA, PEMUDI TIANG NEGARA  ~


Monday, 12 December 2011

Saya Anak Merdeka!!!

Tidak hanya menantikan 31 Ogos baru ingin bicarakan tetang MERDEKA....
tidak!.tidak!.tidak.... sama sekali. (walaupun sudah 4 bulan berlalu ulang tahun sambutannya.)

Ku ingin berkongsi bersama apa yang dikatakan MERDEKA...
sudah cukup ku bawakan satu lagu ini bersama-sama. walaupun ia tidak menyeluruh lagi dari pelbagai aspek.

>>> Sedikit masa harus diluangkan, fikirkan sebentar apa yang dijuangkan
Adakah MERDEKA sekadar laungan, MERDEKA semuanya keluar gaungan
MERDEKA lebih dari tiga jeritan, MERDEKA bebas dari kesempitan
Pemikiran, otak, akal, minda mungkin tiba masa defenisinya di pinda. <<<

Dengarkan lagu dendangan pelbagai artis ini melayu,cina india, macam-macam ada (^_^).



Saturday, 10 December 2011

Besarnya Terlepas, Yang Kecil Terkena.


Syukur Alhamdulillah kepada tuhan Sang Pencipta kepelbagaian jenis makhluk-makhluknya, serta selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w yang diutuskan untuk menyampaikan risalah Islam kepada ummatnya.

Perkataan ‘rezeki’ sudah sinonim meniti di bibir-bibir kebanyakan manusia pada hari ini, tidak kira sama ada yang mentaati perintah Allah mahupun tidak. Sedar tak sedar, kita mengungkapkan rezeki tanpa mengikat teguh di dalam hati masing-masing akan ketetapan rezeki yang telah ditetapkan oleh-NYA, waima kita sama-sama tidak mengetahui tanpa merunsingkannya (ayatnya disonsangkan, harap difahami).

Dapat kita lihat di sini, di pagi hari yang indah lagi seekor burung akan beterbangan jauh ke luar dari kotak sarangnya untuk mencari secicip rezeki. Kenapa tidak saja burung tersebut mencari makanannya berdekatan dengan sarangnya sahaja. Ini kerana takdir menetapkan rezekinya di nun hunjung sana bukan yang berdekatan dengan sarangnya yang merupakan rezeki bagi haiwan-haiwan yang lain.

Berbalik kepada manusia, mithalnya : Seeorang penduduk dari Bandar Jengka berhijrah ke Bandaraya Kuala Lumpur untuk mencari sesuap nasi bagi menanggung kehidupan sekeluarganya, manakala penduduk dari Bandaraya KL pula berhijrah ke Bandar Jengka untuk mencari rezekinya. Kerana kata penduduk KL itu di Bandar Jengka dapat ku cari rezeki begitu juga sebaliknya jawapan dari penduduk Bandar Jengka yang berhijrah ke KL.

Pelik bukan, kenapa mereka tidak mencari rezeki di tempat masing-masing sahaja. Tidak lain tidak bukan, ini kerana ketetapan Allah bahawa rezeki mereka di situ, cuma kita yang perlu berusaha mencarinya.

Lihatlah pula bagaimana seekor labah-labah yang mencari rezekinya. Ia akan membuat sarangnya yang begitu rapuh dan akan terkoyak apabila ditiup angin, tetapi disitulah tempat ia tinggal dan juga menunggu rezekinya tiap-tiap hari. Sabar yang tinggi dikurniakan kepada sang berkaki lapan. Apakan daya begitulah cara ia mencari rezeki. Jika yang besar melalui sarangnya, sudah pasti tidak mengena perangkapnya bahkan membuatkan sarangnya terkoyak. Dibandingkan jika serangga yang kecil melaluinya semestinya akan terperangkap di sarangnya itu. Seterusnya menjadi santapan kepada labah pada hari itu.

Begitulah juga diibaratkan di mana-mana TOL yang apabila kerabat-kerabat diraja, VIP, berjawatan atau berpangkat besar pasti akan terlepas dari dikenakan bayaran TOL, berbeza pula dengan rakyat jelata yang kerdil serta tidak berjawatan lagi marhean sewajibnya tidak akan terlepas dari membayar kadar TOL yang telah ditetapkan. (Pandai gak kerajaan mengadaptasikan dari kisah labah-labah ni yer)....herm.................

~ Hak Rakyat, Mengapa Perlu Rakyat Membayarnya ~

Friday, 9 December 2011

Demonstasi Aman Penduduk Matau Jengka Bantah Pengusiran MDM


Syukur ke hadrat Illahi kerana masih lagi diizinkan untuk berkongsi kejadian yang berlaku bersama pembaca-pembaca blog, serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

BANDAR TUN ABDUL RAZAK JENGKA yang dulunya dikenalinya Bandar Jengka dalam proses merubah wajah tetapi dalam penganian kepada rakyat jelata. ‘Malapetaka’ dihalau kerajaan U.M.N.O yang mereka dokongi merupakan pengalaman pahit kepada kira-kira 350 orang penduduk Matau, Jengka.

Ia merupakan jawapan tepat kepada perjuangan u.m.n.o untuk membela hak Orang Melayu sebagaimana diuar-uarkan oleh para pemimpin parti itu.

Apa tidaknya, sebahagian besar penduduk Matau adalah penyokong u.m.n.o malah dalam setiap kali pilihan raya, penduduk bertungkus lumus berjuang untuk memenangkan BN kerana mereka percaya hanya u.m.no. sajalah yang mampu mempertahankan hak mereka.

Setiap kali pilihan raya di kawasan itu, hampir tiada langsung bendera PAS dikibarkan menandakan sokongan padu penduduk terhadap u.m.n.o.-BN.

Hari ini, penduduk Matau telah mendapat jawapan tegas daripada kerajaan u.m.n.o apabila mereka menerima notis terakhir supaya berpindah dan merobohkan sendiri rumah yang didiami sejak 40 tahun lalu atau menerima tindakan daripada pihak berkuasa.

Demikian itu kira-kira lebih 400 orang penduduk Matau telah mengadakan demonstrasi aman pada 6 Disember lepas membantah pengusiran Majlis Daerah Maran.

gambar-gambar sekitar demonstrasi












Penduduk Matau adalah komuniti awal Bandar Jengka yang membina penempatan dan bekerja dalam sector pembalakan serta memulakan perniagaan sejak 1969.

Penduduk Matau mempunyai wawasan jangka panjang dan telah memulakan proses untuk mendapatkan status hak milik tanah dengan membuat permohonan kepada pihak berkuasa.

Mereka berjaya mendapatkan status Lesen Pendudukan Sementara (TOL).

Difahamkan, status TOL adalah langkah awal untuk mendapatkan status hak milik kekal biasanya selepas 10 tahun mendapat TOL. Namun ia tidak berlaku kepada penduduk Matau apabila kerajaan menaik taraf status Jengka.

Apabila kerajaan negeri meletakkan Bandar Jengka di bawah kuasa Majlis Daerah Maran (MDM) pada tahun 1999, Kerajaan telah membatalkan TOL kepada penduduk yang diberinya 13 tahun.

Tidak lama selepas itu, MDM mula menunjukkan ‘taringnya’ dengan menghantar notis kepada penduduk dan menyatakan tanah tersebut sudah menjadi miliknya(MDM) dan meminta penduduk mengosongkannya.

“Terkejut dengan notis MDM, penduduk telah berdialog dan meminta MDM/kerajaan memberi pampasan serta menyediakan kemudahan sewajarnya kepada penduduk”.
Malangnya permintaan dari penduduk itu tidak dipenuhi pihak berkuasa sebaliknya penduduk semakin terhimpit dan hanya menunggu masa dan ketikasaja untuk diusir.

Ada dari penduduk yang menyertai demonstrasi aman adalah dari peneroka awal Matau yang meneroka bersama ibu bapanya ketika berusia 13 tahun. Ramai peneroka awal sudah meninggal dunia dan dikebumikan disitu.

“Matau ini adalah tanah air kami, ramai dilahirkan di sini, kami tetap di sini dan merayu kerajaan tidak mengusir kami,” kata salah seorang penduduk di situ.

Merobohkan rumah dan kampung kami adalah zalim dan satu tindakan yang kejam!!!.

“Seharusnya kerajaan memberi status hak milik kepada penduduk sebelum apa-apa proses pemodenan hendak dilakukan.”

Berbeza sama sekali dengan negeri Cek Siti Wan Kemban atau dikenali negeri Serambi Makkah dibawah kepimpinan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Nik Mat, yang menyediakan tempat tinggal dahulu kepada penduduk sebelum meminta penduduk berpindah untuk pembangunan dan keselesaan serta keselamatan penduduk.









Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Get ISLAMIC-Graphics