Dicedok Dari Khutbah Jumaat :
الْحَمْدُلِلهِ الْقَائِلْ،
ALHAMDULILLAH, pada kesempatan
yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan ini, bersama kita tingkatkan keimanan dan
ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Kita laksanakan segala suruhan
dan titah perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah mudahan kita
tergolong dalam golongan orang yang berjaya di dunia dan di akhirat.
Cuti akhir
tahun persekolahan anak-anak kita kini sudah hampir ke penghujungnya. Manfaatkan sebaiknya cuti yang masih berbaki ini dengan mengetahui dahulu antara tujuan cuti
persekolahan. Tujuannya semestinya untuk memberi sedikit kerehatan kepada murid-murid sekolah
yang sudah sekian lama belajar, sebelum mereka menyambung semula pelajaran
mereka pada tahun akan datang.
Cuti akhir
tahun adalah satu cuti yang agak panjang iaitu lebih daripada sebulan, namun
jika ianya tidak diuruskan dengan baik, ia akan menjadi sia-sia dan berlalu
begitu sahaja. Justeru, musim cuti persekolahan perlu dirancang dan diurus
dengan baik supaya ianya dapat memberi manfaat kepada anak-anak, ibu bapa dan
masyarakat.
Setiap ibu
bapa hendaklah bijak menguruskan cuti persekolahan anak- anak mereka. Orang
yang beriman tidak akan membiarkan diri mereka dan keluarga mereka berada dalam
keadaan lagho atau pun sia-sia.
Kata imam
Asy-syahid Hasan Al-Banna:
" Kewajipan (yang perlu kita sempurnakan) adalah
lebih banyak dari masa yang kita ada, maka sepatutnya tidak ada satu saat yang
kita biarkan ianya berlalu tanpa kita menggunakannya dengan melakukan
perkara-perkara yang berfaedah " .
Justeru, ibu
bapa hendaklah :
1 .
Menyedarkan mereka bahawa musim cuti bukan dihabiskan untuk berehat
semata-mata, bermain, tidur dan menonton televisyen sepuas-puasnya, sebaliknya
musim cuti adalah masa untuk memperkayakan ilmu pengetahuan dengan:
*
Mengulangkaji pelajaran sebagai persediaan untuk mengahadapi peperiksaan pada
tahun-tahun berikutnya;
* Ibu bapa
dicadangkan mencari guru-guru yang berpengalaman untuk menyelesaikan masalah
pembelajaran anak-anak dengan kelas-kelas tuisyen dan aktiviti latih tubi;
* Melibatkan
anak-anak dengan kelas-kelas kesedaran Islam, Fardhu Ain, Tahsin Qiraat, Smart
Solat dan kelas-kelas hafazan jangka pendek.
2 . Ibu bapa
perlu membimbing anak-anak untuk memilih budaya hidup yang sihat. Masa lapang
yang agak panjang pada musim cuti sekolah hendaklah diaturkan dengan program
dan aktiviti yang mampu memantapkan fizikal anak-anak seperti penyertaan dalam
ekspidisi mendaki bukit, berbasikal, penyertaan dalam sukan anjuran masjid, waja
diri, berkebun dan lain-lain .
3
. Libatkan anak-anak dalam program dan aktiviti yang boleh mendorong
mereka berjaya seperti Kem Motivasi , Nadwah Islam, rehlah, Kem Insan cemerlang
dan lain-lain.
4
. Memberikan pendedahan kepada anak-anak remaja anasir-anasir yang boleh
meruntuhkan Islam seperti keruntuhan akhlak, akidah dan syariat yang akhirnya
membawa kerosakan kepada kehidupan.
Sebagai ibu
bapa kita haruslah peka dengan perkembangan gejala sosial dan hendaklah mencari
jalan penyelesaian terutama bagaimana harus menyelamatkan generasi anak-anak
kita agar tidak menjadi mangsa kerosakan itu.
Inilah
masanya yang paling sesuai untuk ibu bapa memberikan penekanan mengenai ilmu
agama atau pun ilmu Fardu Ain. Jika pada masa persekolahan kita sibuk
menekankan kecemerlangan akademik, maka inilah masanya kita memanfaatkan ruang
ini untuk membekalkan anak-anak kita dengan ilmu agama sebagai panduan hidup
mereka dalam mengharungi arus dunia yang bersimpang-siur ini.
Bagi ibu bapa
yang mempunyai anak yang sedang belajar di sekolah rendah, di mana kebanyakan
anak-anak belum lagi mencapai umur baligh, maka sepatutnya ibu bapa mengambil
peluang ini untuk memastikan anak-anak mereka dapat menguasai dengan baik ilmu
Fardu Ain sebelum anak mereka mencapai umur baligh. Ini kerana, apabila
anak-anak telah mencapai umur baligh, segala perbuatan mereka telah dikira dosa
dan pahala. Mereka akan berdosa jika tidak dapat soat dengan betul, mereka akan
berdosa jika tidak dapat melakukan puasa dengan sah. Maka kewajipan ibu bapa
bukan sahaja perlu untuk memberikan ilmu Fardhu Ain kepada anak-anak, bahkah
membimbing serta menguatkuasakan perintah Allah yang wajib kepada anak-anak
khususnya kewajipan solat.
Anak-anak
adalah amanah Allah. Maka menjadi kewajipan ibu bapa untuk memastikan anak-anak
sentiasa taat kepada Allah. Ibu bapa dan juga murid perlu merebut peluang musim
cuti persekolahan ini untuk membangunkan syakhsiah yang sihat. Pada masa inilah
saat yang paling sesuai bagi ibu bapa membina kekuatan syakhsiah anak-anak
setelah hampir sepanjang tahun penumpuan dan penekanan diberikan kepada
kecemerlangan akademik. Mereka perlu diajar bagaimana menjadi ahli masyarakat
yang baik. Ibu bapa perlu menggunakan peluang ini untuk membina dan memantapkan
syakhsiah dan jati diri anak-anak seperti menghantar mereka menyertai Khemah
Ibadah untuk membentuk akhlak dan memperkasakan jati diri anak-anak.
Ambillah
peluang di musim cuti persekolahan ini untuk merapatkan hubungan silaturrahim,
khususnya bagi keluarga terdekat dengan menziarahi saudara-mara sama ada yang
di kampung atau di bandar apabila hubungan kekeluargaan dan saudara-mara
menjadi akrab dan mantap, hidup akan menjadi ceria dan mendapat rahmat dan
keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala.
Selain itu,
gunakanlah juga peluang cuti persekolahan ini untuk berjalan-jalan menikmati
keindahan alam semulajadi negara kita yang kaya dan indah ini. Aktiviti ini
sebenarnya meningkatkan kefahaman akidah dan tauhid kita kepada Allah Subhanahu
Wata'ala dan supaya kita akan merasa betapa bersyukurnya mendapat
berbagai-bagai kurniaan Allah.
Sesungguhnya
banyak perkara yang boleh dimanfaatkan pada musim cuti persekolahan ini.
Rancanglah dengan baik, jika kita gagal untuk merancang, bererti kita
sebenarnya merancang untuk gagal.
~ BERSAMA MANFAATKAN CUTI PERSEKOLAHAN~
No comments:
Post a Comment