PEMIKIR UMMAH

Thursday, 12 January 2012

Kelekatu Yang Jatuh Ke Lantai

Litar kehidupan ini umpama litar di jalan raya. Di jalan raya akan kita temui pelbagai papan tanda dan lampu isyarat. Orang yang tidak siuman sahaja merasakan papan tanda dan lampu isyarat itu satu “sekatan” kepada pergerakannya.

Tidak!
Itu bukan sekatan sebaliknya itu hanya satu “kawalan”. Berbeza benar makna satu sekatan dengan satu kawalan. Sekatan adalah untuk menyekat pergerakan. Manakala kawalan adalah untuk menyelamatkannya.

Tanda-tanda jalan dan lampu isyarat adalah untuk menyelamatkan pemanduan. Apabila melalui jalan berbahaya, selekoh tajam atau jalan berliku-liku papan tanda berhati-hati dan memandu perlahan akan dipasang di tepi-tepi jalan. Syukur, kita terhindar untuk melakukan sesuatu yang membahayakan diri hasil mematuhi peraturan-peraturan itu.

Bayangkan apa yang akan terjadi di jalan bersimpang empat jika lampu isyarat rosak? Akibatnya semua kereta hendak bergerak lebih dahulu. Kita tahu akibatnya? Ya, berlakulah perlanggaran. Tanpa kawalan, pergerakan kita memang bebas....tetapi akan terbabas. Itulah akibatnya apabila masing-masing berpandukan fikiran dan perasaan masing-masing. Tidak ada “term of reference” yang disepakati bersama sedangkan jalan raya itu digunakan secara bersama.

Oleh itu, tidak dapat tidak, peraturan jalan raya itu sangat penting . Dan siapa yang melanggarnya, memang patut dihukum atau didenda demi kebaikan seluruh pengguna.

Maka begitulah juga litar kehidupan ini. Perlu peraturan dan tanda-tanda “jalannya”. Yang halal umpama lampu hijau, maka laksanakanlah, pasti selamat dan bermanfaat. Yang haram, lampu merah, jangan sekali-kali dilakukan, nanti buruk akibatnya. Sekalipun kekadang kita hendak segera ke tempat tujuan, lampu isyarat jangan diabaikan. Islam - Matlamat Tidak Menghalalkan Cara.

Maka begitulah dengan hidup ini. Adakalanya kita kesempitan, kekurangan atau kesusahan, namun yang haram jangan sekali-kali diambil dan dilaksanakan. Begitu juga dengan yang halal atau wajib, walaupun sukar, laksanakanlah.

Janganlah hendaknya kita buta hati daripada melihat apa yang terjadi pada manusia derhaka di sekeliling kita. Baik yang hidup pada zaman dahulu mahupun zaman sekarang.

Apa akibatnya orang yang melanggar perintah Allah?

Tenangkah mereka?

Bahagiakah mereka?

Kita sudah tahu jawapannya.

Kisah mereka banyak sekali diungkapkan dalam al-Quran. Tetapi mengapa kita tempuh juga jalan hidup songsang mereka? Apakah kita persis kelekatu yang terus melanggar sumber cahaya walaupun sudah banyak rakannya yang jatuh ke lantai sebagai korban? Tidak pernah mengambil itibar dari kejadian tersebut.

Manusia memang pandai tetapi itu bukan alasan untuk memandai-mandai. Kita tidak layak membuat hukum. Yang layak membuat hukum hanya Allah - Pencipta hidup dan kehidupan ini. Jangan diserahkan kepada manusia kerana dia cuma dihidupkan dan tidak layak membuat peraturan. Bayangkan jika kuasa membuat peraturan diserahkan kepada manusia, tentulah banyak peraturan yang berbeza-beza, berubah-rubah dan rapuh sepertimana ketidakstabilan akal dan perasaan manusia yang berjumlah tujuh bilion hari ini!

Bebas sebenarnya adalah terikat dengan hukum Allah. Biarlah hidup ini dikawal sepenuhnya oleh Allah, nescaya tidak ada yang dapat menyekat kita. Syariat adalah tanda kasih-sayang Allah kepada kita. Mereka yang merasakan hidupnya terbelenggu kerana perlu mematuhi peraturan Allah adalah manusia yang ‘bodoh sombong’ - pandainya tidak bleh diikut, bodohnya tidak dapat diajar.

Dia bodoh, kerana tidak mampu merasai kebesaran dan ketinggian ilmu al-Alim (Allah). Dia sombong, kerana merasakan dirinya lebih hebat daripada Penciptanya.

Inilah sejenak renungan buat individu-individu (ada di kalangan umat Islam sendiri) yang merengus, membebel, marah dan kekadang kecewa kenapa dan mengapa hidup sebagai seorang muslim begitu “cerewet” dan menyusahkan?

Hingga mereka merungut mengapa begitu sukar untuk menikmati makanan yang enak, apabila terpaksa terlebih dahulu memastikan halal haramnya. Mengapa terlalu rumit untuk meraih keuntungan daripada sesuatu pembelian saham atau perniagaan, sehingga terpaksa meneliti salur-salur pelaburan dan sumber kewangannya?

Sejenak rasakanlah....di sebalik semua peraturan itu ialah kasih sayang Allah. Itulah kasih yang tiada tandingan dan bandingnya. Jadilah orang yang bijaksana dengan mengakui kejahilan diri di hadapan kebijaksanaan-NYA. Jadilah orang yang mulia dengan merendah diri di hadapan keagungan-NYA. Kita hanya hamba ......di situlah ‘keagungan’ kita!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Get ISLAMIC-Graphics