Dua hari pulang ke kampung, diilhamkan Allah untuk menyediakan sebuah artikel pada kali ini with the begin word 'kemenangan'.
Buat masa sekarang ramai yang mahukan kemenangan-kemenangan, tidak terlepas juga yang berjihad di jalan Allah SWT.
Ketahuilah........
Kemenangan adalah milik
Allah SWT. Jika Dia belum mahu memberikannya kepada kita, maka kita takkan
pernah memperolehnya. Kita selalu tertipu. Merasakan bahawa kemenangan itu
milik kita, hak kita, bahawa dengan segala amal dan usaha yang kita lakukan,
kita pasti menang. Sehinggakan kita terkeliru, tersilau mata. Memfokuskan
kepada kemenangan, bukan pada amal dakwah yang berterusan.
Kita harus memahami realiti
dakwah. Ia bersifat Robbani. Kita menyeru manusia kepada Allah SWT, menegakkan
hukum-hukum Allah SWT. Dakwah ini bukan milik kita, ia adalah amanah. Amanah
yang wajib kita sandarkan kepada-Nya. Apabila Dia menentukan bahawa sudah tiba
masanya kita menang, maka pasti tidak ada yang dapat menghalang. Jika masih
belum nampak bibit-bibit kemenangan, kita harus terus beramal dan berjihad
tanpa sedikitpun meragui akan kehendak Allah SWT.
Maka kemenangan, adalah
sebuah anugerah Allah SWT. Apabila Allah SWT memberikannya kepada kita, itu
bererti sudah selayaknya kita memperolehnya. Jika belum, ertinya kita belum layak
memperolehnya. Boleh jadi kesediaan kita belum cukup untuk menggalas segala
amanah-amanah pasca kemenangan tersebut. Maka masa, bukanlah sebuah indikator sesebuah
kemenangan. Sekalipun sebuah perjuangan itu memakan masa puluhan tahun, bahkan
ratusan tahun, belum menjadi penguat bahawa kita harus menang kerana ia adalah
sebuah ketentuan Allah SWT!
Kita tahu bahawa kita bukan
pemula sebuah perjuangan menegakkan agama Allah SWT. Kita adalah penerus kepada
tali-tali rantainya. Dan hujungnya belum tentu kita. Kita mungkin akan bisa
merasa kemenangan tersebut, atau kita mungkin mati sebelum tertegak agama ini
di seluruh pelusuk bumi. Apa yang paling penting, kita mengambil posisi penerus
dakwah yang tidak kenal henti berjuang dan tidak menggantungkan usaha kepada
hasil.
Taujih Robbani itu selalu
menyeru kita agar ikhlas dalam perjuangan. Tidak merasa besar dengan amal kita,
tidak menggantungkan kekuatan pada jumlah kita. Lihat sahaja dalam kisah perang
Hunain ketika Umat Islam itu ramai, namun Allah memberikan pelajaran dengan
menangguhkan kemenangan untuk Umat Islam. Firman Allah:
"Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (hai
para mukminin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan
Hunain, iaitu diwaktu kamu menjadi bongkak karana banyaknya jumlah (mu), maka
jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikitpun, dan bumi yang
luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari ke belakang dengan
bercerai-berai."
[At-Taubah: 25]
Sudah tiba masanya kita
tidak bermain-main dalam melaksanakan dakwah kerana Allah SWT. Ketika Allah
memilih kita untuk diberikan nikmat besar ini, janganlah kita mengabaikan dan
menolaknya lalu menjadikannya sebagai tugas sampingan. Takut-takut apabila
sampai masa kemenangan, kita tidak berada bersama-sama dalam angkatan yang
memperjuangkannya.
Bersyukurlah, apabila Allah SWT
terus memberikan kesempatan dan ruang untuk kita beramal. Jangan dirisaukan
akan kemenangan dan jangan dijadikan ia pelemah kepada amal, kerana KEMENANGAN
ADALAH MILIK ALLAH SWT!
"Apabila telah datang pertolongan Allah dan
kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong.
Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya.
Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat".
[An-Nasr: 1-3]
Kemenangan besar yang kita
semua inginkan adalah kita mati dalam keadaan Allah meredhai kita, bahkan lebih
istimewa kita gugur ketika sedang melaksanakan tugas-tugas dakwah.
No comments:
Post a Comment